Hidup di zaman pandemik, pemakaian pelitup muka adalah sesuatu yang tidak dapat kita hindari. Bagi anda yang gemar mengenakan solekan, sudah pasti akan berasa kecewa melihat kesan solekan terlekat di pelitup muka, lantas menjadikan solekan di wajah kelihatan bercapuk. Berikut adalah tips yang boleh anda praktikkan agar solekan boleh bertahan lama di bawah pelitup muka:
Tips 1: Pilih foundation dengan coverage ringan atau sederhana

Untuk anda yang ingin solekan anda mampu bertahan lama di bawah pelitup muka, pilihlah foundation dengan liputan yang ringan atau sederhana. Foundation dengan liputan yang menyeluruh mempunyai pigmen warna yang padat dengan lapisan yang tebal di wajah yang menyebabkan ia boleh kelihatan cakey atau bercapuk. Manakala, foundation yang ringan atau sederhana membolehkan kulit anda “bernafas” dengan selesa. Anda juga boleh menggunakan concealer dengan tona warna yang menyamai warna kulit anda untuk menutup sebarang kecelaan di wajah.
Tips 2: Gunakan span wajah

Bagi mendapatkan hasil sapuan foundation yang sekata, elakkan penggunaan berus solekan. Sebaliknya, gunakan span wajah yang telah dibasahkan (dan diperah terlebih dahulu). Penggunaan berus solekan terutama sekali untuk kulit yang kering boleh menyebabkan solekan kelihatan seakan-akan menggelupas kerana sapuan foundation akan kelihatan streaky. Selain itu, foundation juga akan berpaut di permukaan kulit yang tidak rata lantas menyebabkan solekan kelihatan patchy.
Span yang telah dibasahkan pula mampu menyerap lebihan foundation di permukaan kulit. Selain itu, sapuannya lebih lembut dan sekata dengan hasil yang kemas. Bagi penggunaan concealer pula, ratakan dengan span atau jari untuk kemasan yang nampak natural.
Tips 3: Tetapkan solekan dengan bedak tabur dan blotting powder

Penggunaan bedak tabur (setting powder) adalah satu kemestian selepas menggunakan foundation. Ia berfungsi untuk menetapkan solekan di wajah. Gunakan dengan berpatutan di kawasan yang perlu seperti di bawah mata, pipi, hidung dan dagu. Untuk kawasan dahi pulak, cukup sekadar satu lapisan nipis. Sapuan bedak tabur secara pressing & dabbing dapat memberikan kemasan yang lebih baik berbanding sapuan secara vertikal.
Bagi anda yang mempunyai kulit yang berminyak, anda juga boleh menggunakan blotting powder sebagai langkah tambahan untuk memastikan solekan anda kekal lama di wajah. Tidak seperti bedak tabur, blotting powder berfungsi untuk menyerap sebum yang berlebihan di wajah. Ini lantas menjadikan solekan anda tidak kelihatan cakey.
Tips 4: Jadikan setting spray kewajipan bersolek

Untuk memastikan solekan boleh bertahan dengan penggunaan pelitup muka, penggunaan setting spray tidak boleh diabaikan. Anda boleh menggunakan span wajah lembap yang telah disemburkan dengan setting spray agar foundation anda mampu bertahan lebih lama. Anda juga boleh menggunakan setting spray sebagai langkah akhir solekan untuk mengekalkan solekan di wajah dan menghilangkan kesan berdebu di wajah akibat penggunaan bedak tabur.
Tips 5: Gunakan pelitup muka yang sesuai

Selain langkah-langkah bersolek yang dinyatakan di atas, penggunaan pelitup muka yang sesuai memainkan peranan untuk memastikan solekan anda mampu bertahan lama. Pilihlah pelitup muka yang diperbuat daripada bahan yang membenarkan pengudaraan yang baik. Ini sekaligus mengelakkan nafas anda, yang megandungi wap air, terkuap di kawasan mulut, pipi, hidung dan dagu lantas menyebabkan solekan menjadi bercapuk atau cakey. Pelitup muka jenis duckbill seperti N95 atau KN95 juga sesuai digunakan untuk anda yang bersolek kerana bentuknya yang tidak melekap ke muka dan memberikan ruang antara bibir dan hidung dengan pelitup muka, lantas mengurangkan sentuhan dan pemindahan solekan ke pelitup muka.