Tahukah anda sebenarnya anda boleh menikmati beberapa kelebihan dan keistimewaan sekiranya anda pernah menderma darah sebelum ini?

Ya, menurut laman web rasmi Pusat Darah Negara, penderma darah yang menderma di Pusat Darah Negara atau di mana-mana lokasi Tabung Darah di Hospital Kerajaan, mereka sebenarnya layak mendapatkan rawatan percuma seperti di jadual berikut:
Kekerapan Derma Darah | Keistimewaan Rawatan |
---|---|
1 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar, rawatan perubatan dan duduk di wad kelas dua secara percuma. Namun, ia tidak termasuk bayaran X-ray dan pembedahan. Keistimewaan ini terhad dalam tempoh 4 bulan selepas rawatan. |
2-5 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan di wad kelas dua secara percuma. Keistimewaan ini terhad dalam tempoh 4 bulan selepas rawatan. |
6-10 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar secara percuma selama 1 tahun dan rawatan perubatan di wad kelas dua secara percuma selama 6 bulan. |
11-15 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar secara percuma selama 2 tahun dan rawatan perubatan di wad kelas dua secara percuma selama 1 tahun. |
16-20 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan di wad kelas dua secara percuma selama 2 tahun. |
21-30 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan di wad kelas dua secara percuma selama 3 tahun. |
31-40 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan di wad kelas dua secara percuma selama 4 tahun. |
41-50 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan di wad kelas dua secara percuma selama 6 tahun. |
>50 | Anda boleh mendapatkan rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan di wad kelas satu secara percuma selama 10 tahun. Selepas 10 tahun, anda boleh mendapatkan rawatan di wad kelas dua secara percuma untuk seumur hidup. |
Walau bagaimanapun, tempoh masa keistimewaan yang dinyatakan adalah sah digunakan bermula dari tarikh pendermaan terakhir.
Penderma juga perlu menunjukkan buku merah kepada pihak hospital sebelum layak menggunakan keistimewaan seperti dalam jadual di atas dan ianya hanya boleh digunakan oleh penderma darah yang berstatus penduduk tetap sahaja.

Apakah Syarat Yang Perlu Anda Tepati Jika Ingin Menderma Darah?
Sebelum anda mengunjungi ke Pusat Derma Darah yang dibuka, terdapat beberapa syarat yang perlu anda ketahui:
- Sihat tubuh badan
- Berumur di antara 18-65 tahun untuk yang pernah menderma. Dan berumur di antara 18-60 tahun untuk pertama kali menderma.
- Berat badan 45kg ke atas.
- Bagi penderma wanita; tidak mengandung, tidak datang haid, tidak menyusukan anak.
- Tiada masalah kesihatan.
Selain itu, pastikan anda telah makan dan minum sebelum menderma darah serta mendapat tidur yang cukup iaitu sekurang-kurang 5 jam sehari.