Pernahkah anda mendapati ibu jari tangan anda berasa kebas dan bengkak secara tiba-tiba? Jika ya, adakah ia berlaku untuk satu tempoh yang panjang?

Untuk pengetahuan anda, ibu jari tangan bengkak ini boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

  • Sindrom karpal tunnel
  • Arthritis
  • Gangguan saluran darah dan juga saraf
  • Gejala awal untuk kencing manis

Namun terdapat juga faktor yang berkemungkinan besar menyebabkan berlakunya bengkak dan kemerahan pada ibu jari iaitu pengambilan garam yang berlebihan dalam sajian makanan harian.

Mengapa Garam Boleh Menyebabkan Bengkak Berlaku?

Bengkak atau bloating ini sebenarnya tidak hanya berlaku pada jari sahaja. Ia juga boleh berlaku pada bahagian tubuh yang lain seperti kaki, muka dan beberapa kawasan yang lain.

Faktor yang menyebabkan bengkak ini berlaku apabila tubuh bertindakbalas ke atas jumlah kandungan natrium yang ditemui di dalam badan. Sekiranya mereka mendapati natrium di dalam tubuh adalah tinggi, maka tubuh akan bekerja lebih kuat untuk mengekalkan keseimbangan air dan mineral yang betul supaya ia tidak mengganggu fungsi asal tubuh.

Oleh sebab itu, anda akan merasakan tangan atau ibu jari anda seperti bengkak untuk tempoh masa yang pendek.

Bukan sekadar itu, jika kandungan natrium dalam badan adalah tinggi, simptom lain yang boleh anda rasai termasuklah dahaga yang teruk dan peningkatan sementara dalam tekanan darah. Dalam kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan hipernatremia yang mana jika tidak dirawat, ia boleh membawa maut.

Jadinya, bagi anda yang mungkin terjejas oleh pengambilan garam yang tinggi, anda boleh mula mengimbangi hidangan dan praktikkan untuk minum lebih banyak air, makan makanan yang kaya dengan kalium, dan kurangkan pengambilan garam anda pada hidangan lain.

Kesan Kesihatan Lain Yang Disebabkan Oleh Pengambilan Garam Yang Berlebihan

Selain daripada menukar tabiat pemakanan anda, anda juga perlu memahami keperluan tubuh yang unik dan akan sentiasa berubah dari masa ke semasa.

Garam atau natrium secara umumnya diperlukan oleh badan bagi membantu individu melakukan aktiviti dengan lebih baik. Namun, pengambilan terlalu banyak natrium boleh memudaratkan kesihatan kerana diet yang mengandungi paras natrium yang tinggi boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko mendapat tekanan darah tinggi, yang merupakan punca utama strok dan penyakit jantung.

Bukan itu sahaja, natrium yang berlebihan meningkatkan risiko-risiko lain seperti osteoporosis, kanser perut dan penyakit buah pinggang.