Disebabkan teksturnya yang ringan dan tidak begitu likat, pastinya ramai dalam kalangan anda yang mungkin terkeliru dengan produk penyegar (toner) dan air miselar (micellar water) .

Jadi apakah yang membezakan kedua-duanya?

Bagi yang tidak mengetahui, penyegar (toner) adalah sejenis cecair yang digunakan untuk membersihkan kotoran pada muka serta membantu mengurangkan blemish pada kulit. Ia juga mempunyai bahan yang dapat mengekalkan kelembapan kulit di samping menghasilkan kulit yang lebih segar.

Jika di Korea, ia merupakan proses pertama yang akan dilakukan selepas mencuci muka atau melakukan double cleansing. Hal ini kerana, penyegar akan bertindak dalam membuka ruang-ruang pori di kulit. Melaluinya, anda akan lebih mudah mengeluarkan dan menghilangkan segala kekotoran dan lebihan minyak.

Sementara untuk air miselar pula biasanya digunakan sebagai pembersih muka untuk membantu menanggalkan solekan, kotoran dan minyak dari kulit selepas seharian memakai produk solekan di atas kulit.

Air miselar juga mengandungi micelles iaitu molekul yang berkumpul bersama dan menarik kotoran dan minyak. Apabila pad kapas dengan air miselar disapu pada muka, micelles melekat pada kapas sambil menarik alat solek dan kekotoran lain. Mereka melakukan ini tanpa mengeringkan dan menghilangkan minyak semula jadi pada kulit, seperti sabun dan pembersih tradisional.

Macam saya sendiri, air miselar merupakan produk yang paling penting untuk saya pakai kerana ia membantu dalam memberi kelembapan yang mencukupi kepada kulit. Hal ini kerana, saya mempunyai jenis kulit yang kering dan penyegar cukup penting dalam mengekalkan hidrasi kulit.

Walaupun ia kelihatan seperti air dan mempunyai kelikatan yang sama, ia mempunyai tekstur yang sedikit berbeza pada kulit.

Penyegar VS Air Miselar

Tujuan utama air micelar adalah untuk membersih dan menanggalkan solekan ringan. Manakala penyegar pula direka untuk digunakan selepas pembersihan untuk mengimbangi semula pH kulit dan menutup liang-liang. Penyegar juga membersihkan sisa pembersih atau kotoran yang tertinggal dan mengeluarkan lebihan minyak.

Air Miselar Sesuai Untuk:

  • Air miselar sangat sesuai untuk kita yang berkulit kering dan sensitif
  • Air miselar juga lembut dan menghidratkan.

Penyegar Sesuai Untuk:

  • Jika kulit anda mempunyai jenis kulit yang berminyak, penyegar adalah pilihan yang terbaik.
  • Penyegar juga boleh digunakan untuk kulit kering, kulit tidak sekata atau kulit kombinasi. Tetapi pastikan pilih jenis penyegar yang tidak mengandungi alkohol.