Jika anda pernah menonton iklan Kopi Kapal Api, pastinya anda masih lagi mengingati akan slogan yang kerap digunakan iaitu “Betul-Betul Kaw”.

Bagi yang tidak mengetahui, Kopi Kapal Api merupakan kopi keluaran Surabaya, Indonesia. Jenama ini pada waktu itu dianggap sebagai peneraju pasaran jenama kopi di Indonesia yang mana ia terkenal di seluruh nusantara.

Biji kopi Kapal Api terhasil daripada kawasan penanaman kopi terbaik di Indonesia iaitu di Ladang Sulotco. Ia membawakan dan menghasilkan kopi yang berkualiti tinggi terutamanya Kopi Kalosi Toraja yang terkenal, Kopi Celebes Kalosi, dan Kopi Luwak yang cukup terkenal sebagai salah satu jenis kopi terbaik di dunia.

Untuk setiap biji kopi pula, ia diproses dengan mesin moden dan menggunakan kaedah pertanian organik untuk menghasilkan rasa kopi yang segar. Melalui kaedah ini, ia dilihat memberikan keseimbangan antara memelihara persekitaran semula jadi dan juga menghasilkan kopi arabika organik terbaik di dunia.

Bermula dengan hanya menawarkan biji kopi yang dikisar, kini Kopi Kapal Api telahpun memperluaskan variasi penawaran kopi mereka termasuk Kapal Api White Coffee, Kapal Kopi Mocha, Kapal Api 2-dalam-1 dan yang terbaru Kapal Api Gula Merah.

Sekiranya anda ingin membuat secawan Kopi Kapal Api asli yang sempurna dengan adunan ini, anda boleh hanya bancuh serbuk kopi kapal api dengan air panas dan gunakan sama ada penekan kopi atau beg penapis kemudian tambah gula atau krimer mengikut citarasa anda.

Kopi Kapal Api juga dipanggang dengan warna yang hebat dan dikisar cukup halus untuk anda menggunakannya dengan mesin espresso. Jadinya, anda boleh mendapatkan kopi dengan rasa yang premium pada harga yang berbaloi.

Apa Yang Menarik Pada Kopi Kapal Api Gula Melaka?

Variasi kopi ini telah dilancarkan pada tahun 2021 yang lalu. Ia merupakan campuran kopi segera terbaru dari Kapal Api dengan Gula Melaka (gula kelapa).

Menurut Kapal Api, kopi ini membawakan dengan aroma dan rasa kopi KAW yang sama kuat tetapi dengan pilihan yang kurang manis berbanding produk mereka yang lain. Di tambah dengan keunikan rasa gula melaka, maka anda mungkin boleh menikmati rasa yang lebih memikat hari iaitu manis yang tidak keterlaluan, sedikit berkrim dan mempunyai aroma seperti dipanggang.

Tahukah Anda Kapal Api Group Juga Sebenarnya Menghasilkan Produk Lain?

Selain menghasilkan kopi, Kapal Api Group juga sebenarnya turut menawarkan beberapa produk lain termasuk krimer.

Mereka hadir dengan kilang operasi pembuat krimer yang dikenali sebagai PT. Santos Premium Krimer yang mana ia diperkenalkan secara komersial pada akhir tahun 2006.

Ia menghasilkan beberapa jenis krimer dengan pelbagai jenis aplikasi. Daripada krimer yang mengandungi 28% lemak sayuran kepada jenis yang mengandungi 35% lemak sayuran, serta minyak kelapa terhidrogenasi sebagai sumber lemak sayuran.

Bahkan untuk tampil lebih variasi, Kapal Api Group turut menawarkan variasi jenis jenama gula-gula dan biskut kepada pengguna. Antara jenama yang dipasarkan termasuk Kapal Api Candy, Oatbits, Esprezzo dan banyak lagi.

Akhir sekali, Kapal Api Group juga telah membuka rangkaian kafe mereka yang tersendiri iaitu Excelso. Kafe ini menyajikan sajian kopi yang halus untuk para penggemarnya merasai keunikan yang dipersembahkan di setiap tegukan. Namun, penawarannya masih lagi terhad di Indonesia dengan jumlah cawangan sebanyak 126 di 30 bandar di seluruh Indonesia.