Menurut laporan dari Trender Zalora, permintaan untuk produk yang melibatkan rawatan kulit dan juga serum wajah menunjukkan peningkatan yang ketara sejak tahun 2020 yang mana ia meningkat sebanyak 282% berbanding tahun 2019 dan 114% untuk tahun 2021.
Pertumbuhan untuk produk memfokuskan kecantikan setakat ini adalah salah satu yang paling ketara di seluruh platform peruncit dan boleh dikatakan menyumbang kepada peningkatan nilai pembelian yang tinggi.
Namun mengapa hal ini berlaku? Apakah faktor yang menyebabkan berlakukanya peningkatan permintaan untuk produk rawatan kulit dalam kalangan pengguna?

Mengapa Permintaan Untuk Produk Rawatan Kulit Meningkat Secara Mendadak Pada Tahun 2020-2021?
Berdasarkan laporan dan kajian yang telah dilakukan oleh kebanyakan pakar industri, ia menunjukkan bahawa krisis mempengaruhi kesanggupan orang ramai untuk membeli sesuatu barangan keperluan dan bukan keperluan secara berbeza.
Oleh sebab itu, terdapat pelbagai faktor yang perlu diberikan perhatian yang mana ia mungkin melibatkan tingkah laku pengguna ataupun ketersediaan produk di dalam pasaran yang menjadikan sesuatu permintaan meningkat dan juga menurun.

Tidak dinafikan, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan pembelian produk rawatan kulit adalah melibatkan peralihan dan penawaran yang lebih meluas oleh kebanyakan jenama produk penjagaan kulit. Jika sebelum ini, pengguna hanya boleh mengaksesnya melalui rangkaian fizikal, tetapi kini orang ramai sudah mula mendapatkannya secara atas-talian.
Di samping itu, ramai dalam kalangan pengguna telah menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dan mula melakukan aktiviti-aktiviti lain yang mungkin tidak dapat dipraktikkan ketika norma sebelum pandemik. Jadinya, tidak hairan mengapa terdapat sesetengah permintaan dilihat meningkat sepanjang tempoh pandemik ini, lebih-lebih lagi berkaitan dengan pengurusan dan penjagaan diri.

Perkara ini turut disokong lagi dengan perkongsian rutin di media sosial yang menjadikan para pengguna teruja untuk mencuba sesuatu yang baharu. Sebagai contoh, ada segelintir selebriti yang berkongsi swafoto wajah mereka dengan rias solekan yang ringan dan tampak semula jadi, ada juga individu yang berkongsi tips dan cara mendapatkan hasil kulit yang cantik dan segar dan banyak lagi di Instagram.
Dengan lambakan perkongsian ini, sudah tentu sedikit sebanyak telah memberikan impak ke atas permintaan produk rawatan kulit sekaligus menjadikan orang ramai tidak ketinggalan untuk mencubanya.
Bukan itu sahaja, ramai yang menyatakan bahawa solekan penuh tidak lagi bersesuaian untuk dilakukan pada masa kini. Lebih-lebih lagi kebanyakan masa telah banyak dihabiskan di rumah menjadikan perbelanjaan untuk alat solek yang sebelum dikeluarkan mula diasingkan untuk pembelian barangan rawatan kulit pula.
Namun, harus diingatkan bahawa perubahan dalam tingkah laku pengguna boleh berlaku atas sebab yang berbeza, termasuk faktor peribadi, ekonomi, psikologi, kontekstual dan sosial.