Bercinta, bersama, couple, dan pelbagai lagi terma sinomim dengan pasangan lelaki dan perempuan yang suka di antara satu sama dengan yang lain. Ia adalah perkara yang tidak terlarang dan adalah digalakkan jika ada tujuan. Namun jika bersama, tanpa ada arah tuju ia jelas DILARANG dan HARAM kerana boleh membawa kita kepada jalan kemungkaran iaitu zina.
Jadi, bagaimana kita ingin bercinta dan bersama dengan orang yang kita suka dan sayang? MUDAH, rujuk kembali firman-firman Allah S.W.T dalam Al-Quran serta sabda Nabi Muhammad S.A.W dalam hadith yang sahih.
Tahukah anda, adalah sunnah untuk kita melihat orang yang kita ingin bersama sebelum berkahwin?
Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada sahabat baginda yang ingin berkahwin iaitu Mughirah Bin Syu’bah,
“Lihatlah perempuan itu, semoga ia akan mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”
Hadith Riwayat At-Tirmidzi
Dengan melihat orang yang kita ingin membina masjid bersama, perasaan cinta itu boleh terbentuk dan kasih sayang juga boleh mula mencurah. Sekiranya sudah melihat dan hati benar-benar ikhlas, maka kahwinlah.
Bercinta, suka, sayang sebelum kahwin AMAT BAHAYA! Silap sedikit, hasutan sedikit, boleh rosak akidah. Allah S.W.T berfirman,
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”
Surah Al-Isra’ Ayat 32
Kita juga digalakkan memilih orang yang faham akan agama Islam. Itu perkara penting, selain juga kerana harta (dalam konteks moden kewangan yang stabil dan berkemampuan itu fahaman saya), keturunan serta kecantikan. Ini kerana ia adalah apa yang Rasulullah S.A.W katakan,
“Seseorang perempuan dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan atau agamanya. Maka, pilihlah perempuan yang beragama kerana kamu memerlukannya.”
Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah & Ahmad
Jika sudah yakin, percaya, dan mula rasa sayang dan cinta – jangan tangguh lagi. Tidak elok untuk belum sah nikah sudah berdua-duaan, bersentuhan, dan pelbagai lagi aktiviti haram yang kerap tular di media sosial. Paling seram adalah kanak-kanak juga sudah pandai dalam hal ini, apatah lagi mereka yang lebih dewasa dan matang?
Orang kata kalau sudah pasti, teruskan. Jika tidak dan ada rasa was-was, lupakan dan cari yang lain. Sentiasa dekatkan diri kepada pencipta kita Allah S.W.T dan berpegang kepada kata-kata Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W bersabda,
“Apabila seseorang yang kamu redai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak mengahwinkannya, nescaya akan berlaku fitnah dan berleluasanya kerosakan di muka bumi.”
Riwayat At-Tirmidzi
Jadi, renung-renungkan, berhati-hati, dan ingat anda sentiasa di perhatikan – Assalamualaikum dan selamat beramal.