Rupa-rupanya haiwan laut obor-obor sebenarnya tidak mempunyai otak?

Ya, berbeza dengan haiwan lain, obor-obor memproses maklumat atau mengawal tubuh mereka menggunakan dua sistem saraf dan tidak mempunyai pusat saraf berpusat seperti otak.

Dua sistem saraf yang dimaksudkan adalah:

  • Rangkaian saraf besar
  • Rangkaian saraf kecil

Selain otak, obor-obor juga tidak mempunyai beberapa organ lain termasuk jantung. Obor-obor hanya terdiri daripada tiga lapisan tubuh sahaja iaitu lapisan luar yang dipanggil epidermis, lapisan tengah yang diperbuat daripada bahan elastik yang dipanggil mesoglea dan lapisan dalam yang dipanggil gastrodermis.

Dengan kehadiran sistem saraf asas, maka ia membolehkan obor-obor menghidu, mengesan cahaya, dan bertindak balas kepada rangsangan lain. Bukan itu sahaja, obor-obor juga masih mempunyai rongga pencernaan mudah yang bertindak sebagai perut dan ususnya dan satu bukaan lain yang menempatkan kedua-dua mulut dan dubur.

Apa Yang Membezakan Dua Rangkaian Saraf Ini?

Rangkaian saraf yang besar yang dimaksudkan adalah sistem yang mengawal cara mereka bergerak dan berenang. Di dalam sistem saraf ini, obor-obor

Sementara rangkaian saraf kecil pula adalah sistem yang mengawal semua tingkah laku lain, termasuk tindak balas penyusuan dan kekejangan. Sistem saraf ini boleh didapati di seluruh badan dan ianya akan bertindak mengikut cara yang sewajarnya. Contohnya, obor-obor akan menggunakan sesungut tunggal untuk mengalihkan mangsa ke mulutnya.

Dengan kehadiran kedua-dua sistem saraf ini, satu bahagian badan obor-obor dapat menyedari dan bertindak balas terhadap keperluan sesuatu bahagian. Melaluinya juga, terdapat beberapa deria yang dimiliki oleh obor-obor seperti mengesan sentuhan, cahaya, suhu dan juga kemasinan air bagi menentukan kawasan jelajahan mereka.

Bagaimana Obor-Obor Mencari Dan Mendapatkan Makanan?

Walaupun tiada kehadiran organ otak, namun obor-obor masih menerima isyarat untuk mencari dan mendapatkan makanan.

Terdapat neuron yang akan menghantar isyarat kimia kepada otot mereka untuk mengecut dan membolehkan mereka berenang. Malah, obor-obor juga mempunyai mata yang kompleks yang membantu mereka melihat dan berenang ke arah makanan.

Menurut kajian, obor-obor tidak berenang tanpa tujuan. Mereka mempunyai navigasi yang baik menggunakan maklumat yang diakses dari neuron dan ditambah lagi dengan kebolehan melihat dengan tepat.

Sememangnya mata mereka berbeza dengan mata haiwan atau kehidupan yang lain. Mata obor-obor boleh didapati di rhopalia yang mana ia kelihatan seperti bintik hitam.

Apa itu rhopalia? Ia adalah sistem sensori yang terletak di rangkaian saraf besar. Menerusinya, obor-obor dapat mengekalkan keseimbangannya. Apabila obor-obor bergerak, mineral di dalam sistem akan menekan neuron deria pada bahagian yang bertentangan dengan arah gerakan disebabkan oleh rintangan inersia.

Untuk pengetahuan anda juga, obor-obor berupaya mempunyai 24 mata yang luar biasa dalam 4 rhopalia mereka yang mana akan ada 6 dalam setiap satu rhopalia.

Sumber: ScienceABC, Esalq, PBS