Pernahkah anda tertanya-tanya kenapa wajah anda kelihatan kusam? Semak dengan poin-poin di bawah sekiranya anda ada mengabaikan langkah-langkah penjagaan kulit berikut:
Pertama: Tidak Membasuh Muka dengan Bersih

Membasuh muka adalah asas utama dalam penjagaan kulit. Oleh yang sedemikian, langkah ini tidak boleh dipandang enteng. Membersihkan kulit dengan betul memastikan sebarang kekotoran, solekan, krim pelindung matahari dan sebum dapat dibersihkan dari permukaan kulit. Ini sekaligus membolehkan produk yang digunakan selepas langkah ini meresap dan bertindak balas dengan lebih baik dengan kulit anda.
Cara terbaik untuk membersihkan kulit ialah dengan kaedah double cleansing. Double cleansing ialah kaedah di mana kulit dibersihkan dengan pembersih kulit berasaskan minyak (cleansing oil atau cleansing balm) dan seterusnya diikuti dengan pencuci muka berasaskan air. Sekiranya anda tidak menggemari pembersih muka yang terasa berminyak di wajah, anda boleh menggunakan micellar water atau cleansing milk sebagai pilihan alternatif sebelum membersihkan wajah anda dengan pencuci muka berasaskan air. Namun begitu, pastikan anda membersihkan wajah dengan teliti sekiranya anda menggunakan micellar water atau cleansing milk kerana kuasa membersih kedua-dua produk ini adalah kurang berbanding cleansing oil atau cleansing balm.
Kedua: Tidak Menghidratkan Kulit

Toner adalah antara produk yang penting dalam penjagaan kulit. Ia berperanan untuk menyegarkan kulit selepas anda membersihkan wajah, lebih-lebih lagi sekiranya pencuci muka yang anda gunakan bersifat mengeringkan kulit. Toner juga mampu membersihkan sisa-sisa kotoran yang tertinggal di wajah selepas anda membersihkan muka dan menambah kembali lembapan ke kulit lantas menyediakan kulit untuk penggunaan produk seterusnya.
Toner bersifat cecair yang menghidrasikan kulit yang cepat meresap ke dalam kulit. Hidrasi inilah yang membuatkan kulit kelihatan plump dan glowing. Bergantung kepada toner yang anda gunakan, ia mungkin mengandungi gliserin, asid hyaluronik, antioksida, bahan anti-radang dan asid (lihat poin berikutnya berkenaan exfoliant).
Tanpa penggunaan toner, kulit anda tidak cukup lembap untuk menyerap serum dan krim yang anda gunakan. Ini mengakibatkan produk yang digunakan bertukar keputihan apabila disapu ke wajah kerana ia hanya “duduk” di atas permukaan kulit dan akan mengambil masa untuk menyerap. Oleh itu, penting untuk anda tidak skip penggunaan toner dalam langkah penjagaan kulit anda.
Ketiga: Tidak Membuat Exfoliation

Apabila bercakap tentang exfoliation, ramai yang hanya memikirkan skrub wajah. Sebenarnya terdapat dua kaedah exfoliation yang boleh digunakan: physical exfoliation dan chemical exfoliation. Physical exfoliation menggunakan alatan/ bahan tertentu seperti span konjac, berus muka atau skrub yang digosokkan ke permukaan kulit untuk membuang lapisan kulit mati manakala chemical exfoliation pula menggunakan produk yang mengandungi enzim tumbuhan (bromelain atau papain) atau hydroxy acid (AHA dan/atau BHA) untuk menanggalkan lapisan kulit mati.
Kulit kita mengalami tempoh pembaharuan setiap 28 hari. Exfoliation membolehkan lapisan kulit mati bahagian atas disingkirkan, menyerlahkan lapisan kulit yang lembut. Ini penting untuk membuatkan tona kulit tampil sekata dan tampak berseri. Selain itu, exfoliation juga membantu untuk mengurangkan cela wajah akibat parut jerawat, jeragat akibat kerosakan UV, dan mengurangkan tanda-tanda penuaan.
Keempat: Tidak Menggunakan Krim Pelindung UV

Melindungi kulit daripada sinaran cahaya matahari adalah langkah terpenting dalam penjagaan kulit. Ini adalah kerana sinar UV dalam cahaya matahari adalah faktor utama yang menyebabkan kulit menjadi kusam dan ia juga mempercepatkan kesan-kesan penuaan. Ramai yang beranggapan anda hanya perlu menggunakan krim pelindung matahari sekiranya anda ke pantai sahaja. Penggunaannya adalah penting walaupun anda hanya sekadar keluar memandu atau berada di bawah cahaya matahari selama 10 minit. Pada hari yang mendung atau hujan juga anda tetap perlu menggunakan krim pelindung matahari kerana sinar UV masih boleh menembus awan. Gunakan sekurang-kurangnya SPF30 dan biarkan di kulit selama 10 minit sebelum anda terdedah kepada cahaya matahari. Sekiranya perlu, top up krim pelindung matahari sekitar tengahari untuk memastikan keberkesanannya untuk melindungi kulit anda daripada kerosakan UV.