Lina Rosli Diterbitkan 15 February 2022

Tahukah Anda Perbezaan Antara Deodoran Dan Produk Anti-Peluh?

Deodoran dan antipeluh telah menjadi asas dalam rutin penjagaan diri oleh kebanyakan individu di dunia. Sama seperti syampu, sabun badan, krim pencukur, ubat gigi, pencuci muka dan produk yang lain, deodoran serta produk antipeluh mengandungi bahan kimia yang membantu anda mengawal peluh dan memberikan keselesaan sepanjang hari.

Namun, apakah yang membezakan kedua-dua produk ini? Adakah ia menawarkan fungsi yang sama untuk setiap kegunaan?

Deodoran VS Produk Antipeluh – Apakah Perbezaannya?

Tidak dinafikan kedua-dua produk ini digunakan pada kawasan ketiak yang mana membantu memberikan kesegaran dan keselesaan sewaktu melakukan aktiviti.

Namun, sebenarnya terdapat beberapa perkara yang mungkin sedikit lain yang menjadikan penggunaan kedua-dua produk ini perlu disesuaikan mengikut keperluan pengguna.

Secara amnya, deodoran adalah produk yang mengawal bau, manakala produk antipeluh pula merupakan item yang digunakan untuk mengurangkan jumlah peluh anda.

Kedua-dua produk ini boleh dipakai pada mana-mana sahaja bahagian badan anda. Namun, ia selalunya digunakan pada ketiak.

Perbezaan utama deodoran dan antipeluh adalah jenis atau kategorinya yang mana deodoran dianggap sebagai kosmetik, tetapi antipeluh berada di bawah klasifikasi ubat. Oleh sebab itu, antipeluh dikawal oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA). Ini bermakna ia tertakluk pada dasar dan prosedur dan mungkin mempunyai tarikh luput pada label.‌

Deodoran menawarkan dua bentuk perlindungan terhadap bau. Yang pertama ialah sifat antimikrob yang mengurangkan bilangan bakteria yang menghasilkan bau. Yang kedua ialah wangian yang menutup bau yang dihasilkan.

Sumber: SweatHelp

Bercerita mengenai produk antipeluh pula, kebanyakannya menampilkan bahan-bahan yang mengandungi beberapa jenis sebatian garam seperti aluminium klorohidrat, zirkonium dan klorida. Kesemua bahan ini berupaya untuk mengawal saluran peluh atau membantu mengurangkan pengeluaran peluh dengan membentuk palam pada permukaan kulit.

Palam ini boleh terbentuk sekiranya bahan tersebut bercampur dengan titisan peluh. Ia kemudiannya akan mengeringkan titisan di permukaan kulit.

Mana Lebih Sesuai Digunakan Sepanjang Hari?

Jawapannya, ia tertakluk pada keperluan harian.

Sekiranya anda ingin mengawal pengeluaran peluh, maka penggunaan produk antipeluh adalah yang paling sesuai. Tetapi jika anda ingin meningkatkan konfiden diri dengan cara menghasilkan bau badan yang wangi, anda mungkin perlu memilih deodoran wangian yang diminati.

Untuk pengetahuan anda juga, kebanyakan produk penjagaan ketiak di pasaran sebenarnya telah banyak berinovasi yang menjadikan anda tidak perlu membeli produk secara berasingan. Anda boleh memilih produk yang menggabungkan kedua-dua fungsi ini.

Harus diingatkan, anda digalakkan untuk menyemak bahan-bahannya. Produk antipeluh akan mempunyai aluminium disenaraikan sebagai bahan aktif. Deodoran pula biasanya tidak mengandungi aluminium tetapi mempunyai agen antibakteria.

Terdapat sesetengah pihak berpendapat bahawa produk antipeluh berbahaya kerana ia menyebabkan toksin berbahaya tidak dapat dikeluarkan dan disingkirkan dari badan.

Namun hakikatnya tidak. Hal ini kerana peluh bukanlah satu-satunya agen pengeluar toksin. Terdapat beberapa lagi organ lain yang melakukan tugas penyingkiran toksin berbahaya termasuk buah pinggang dan hati.

Melalui kedua-dua organ ini, ia membantu mengeluarkan toksin dari badan anda dengan cara menghasilkan air kencing atau najis yang akan dinyahkeluar secara kerap. Oleh sebab itu, menggunakan produk antipeluh tidak sepatutnya menjejaskan keupayaan badan anda untuk menyingkirkan toksin seperti biasa.

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai alahan atau keadaan kesihatan lain yang boleh dipengaruhi oleh ramuan dalam deodoran, sebaiknya bincangkan perkara ini dengan doktor atau pakar kesihatan. anda.

Sumber: SweatHelp Org Pennmedicine