Carian
Kucing Anda Selesema? Apa Yang Perlu Anda Lakukan?
February 15, 2022 Lina Rosli

Pernahkah anda melihat terdapat lelehan hingus atau cecair jernih pada sekitar hidung kucing anda?

Ya benar, kucing juga boleh dijangkiti selesema yang mana ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya termasuklah alahan, hama hidung, jangkitan virus, keadaan cuaca yang tidak menentu dan banyak lagi.

Bagi mengelakkan masalah yang lebih teruk berlaku, anda perlu memastikan kebersihan kawasan sekitar tempat tinggal dan juga memberikan makanan yang bersesuaian bagi mengelakkan masalah selesema menjadi lebih teruk.

Apa Yang Perlu Anda Buat Sekiranya Kucing Anda Dijangkiti Selesema

Dalam kebanyakan kes, masalah selesama atau hidung berair adalah sebahagian daripada proses pembersihan hidung biasa dan ianya akan hilang dengan sendiri.

Tanda-tanda yang paling biasa pada kucing yang dijangkiti selesema termasuklah bersin, lelehan cecair hidung, mata merah dan berair, batuk, ulser mulut atau hidung, demam, sukar untuk bernafas dan suara kedengaran serak.

Sekiranya anda mendapati tanda-tanda ini telah menyukarkan mereka bernafas selain turut mengehadkan pergerakan, maka anda perlu segera membawa kucing anda berjumpa dengan doktor haiwan.

Terdapat kes yang lebih teruk, kucing anda juga berisiko mengalami bengkak mata selain hidung juga mula mengeluarkan lelehan darah. Kucing dengan tanda-tanda ini mungkin hanya mengalami selsema yang teruk, tetapi mereka juga lebih berkemungkinan menghidap bronkopneumonia atau juga kanser.

Namun usah risau untuk kes selesema biasa, purata tempoh kucing selesema hanya sekitar 7 hingga 10 hari dan sangat jarang berterusan untuk tempoh yang lama.

Bukan itu sahaja, ia sering berlaku pada kucing yang berusia kerana tubuh mereka lebih mudah diserang masalah pernafasan seperti pneumonia yang boleh menyebabkan kematian.

Apakah Yang Perlu Anda Lakukan Untuk Merawat Kucing Selesema?

Berikut adalah rawatan dan tips penjagaan kucing selesema yang boleh anda praktikkan:

  • Kerap lap lelehan hingus pada hidung menggunakan tisu lembut dan lembap. Elakkan daripada menggosok terlalu kuat kerana bimbang ia akan menyebabkan luka dan juga melecet.
  • Tukar makanan kucing dan sediakan pilihan makanan yang berkhasiat bagi membantu kucing mendapatkan nilai nutrien yang lebih tinggi.
  • Pastikan kucing anda kekal hidrat bagi memastikan organ lain berfungsi dengan baik dan membuang toksin yang berbahaya di dalam badan.
  • Bersihkan kawasan tempat tidur dan tempat kucing bermain kerana dibimbangi ia menjadi punca kucing anda jatuh sakit.
  • Asingkan kucing yang lain di kawasan yang berbeza kerana selesema adalah penyakit berjangkit. Sekiranya tidak ditempatkan di sangkar yang berasingan, ia berisiko menyebabkan kucing yang lain turut mengalami selesema.

Apabila anda telah memberikan rawatan yang sepatutnya di rumah tetapi kucing anda masih lagi tidak kembali sihat, maka tiba masanya untuk anda membawa mereka mendapatkan rawatan perubatan seperti mengambil antibiotik atau ubat lain untuk membantu membersihkan saluran hidung dan menggunakan mesin nebulizer bagi kucing yang mempunyai kesukaran bernafas.

Komen