Sudah hampir dua minggu sejak pemberian vaksin COVID-19 ke atas kanak-kanak telah dijalankan di seluruh Malaysia menerusi program PICKids.

Untuk program imunisasi ini, ia dijalankan ke atas kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun yang mana mereka akan menerima vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech).

Berdasarkan perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia, hasil dapatan kajian klinikal vaksin ini menunjukkan keberkesanan sebanyak 90.7% serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19. Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama.

Bagi anda yang ingin melakukan tempahan temu janji vaksin untuk anak-anak anda, mula kunjungi aplikasi MySejahtera dan mula mendaftarkan anak sebagai tanggunggan bermula hari ini.

Persediaan Sebelum Dan Selepas Vaksinasi Kanak-Kanak

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebelum dan selepas menghantar anak-anak anda mendapatkan vaksinasi:

  1. Sewaktu tiba di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pastikan hanya seorang penjaga sahaja yang menemani kanak-kanak iaitu sama ada ibu, bapa atau penjaga. Ia bagi mengelakkan kesesakan ketika berada di dalam PPV selain memastikan kelancaran sepanjang tempoh pemberian vaksin.
  2. Pastikan anak-anak anda mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum menerima suntikan vaksin.
  3. Dapatkan makan dan minum terlebih dahulu sebelum datang ke temu janji kerana pengambilan makanan dan minuman lengkap sebelum vaksin membantu sistem imun anda berfungsi dengan lebih baik secara umum.
  4. Selepas menerima vaksin, anda disarankan untuk mengehadkan aktiviti fizikal dan aktiviti lasak yang berlebihan untuk anak-anak anda sekurang-kurangnya selama seminggu.
  5. Akhir sekali, kerap periksa keadaan kesihatan anak-anak anda sekiranya terdapat simptom atau gejala seperti alergi, demam dan sebagainya. Ini bagi memastikan anak-anak anda berada di dalam keadaan yang baik selepas mendapatkan vaksinasi.

Sumber: covid-19.moh.gov