Untuk menghasilkan solekan yang cantik dan berpanjangan, kaedah penggunaan berus adalah sangat penting. Hal ini kerana, ia akan memberi kesan kepada hasil solekan sama ada ia kelihatan halus ataupun sebaliknya.

Berus kosmetik atau berus solekan biasanya diperbuat daripada bulu haiwan atau rata-rata menggunakan bahan semula jadi yang bersesuaian dengan kulit. Ia kemudiannya akan dibersihkan dan diproses sehingga sempurna sebelum boleh mula digunakan.

Jika anda lihat di pasaran, terdapat pelbagai jenis serat berus yang boleh didapati umum. Dan antara jenis serat berus yang paling kerap digunakan termasuklah berus yang dihasilkan menggunakan bulu tupai, kuda, kambing dan juga khinzir. Namun, terdapat juga jenama berus yang turut menawarkan berus dengan penggunaan bulu sintetik.

Penawaran yang variasi ini sebenarnya bertujuan untuk memberi pilihan kepada orang ramai untuk memilih serat manakah yang bersesuaian sekaligus menghasilkan kejituan di dalam solekan.

Apakah Perbezaan Antara Berus Bulu Haiwan Dan Berus Bulu Sintetik?

Secara umumnya, segelintir individu cenderung memilih berus daripada serat semula jadi kerana mereka mengatakan bahawa serat sintetik tidak menghasilkan paparan solekan yang halus selain binaan serat yang kaku dan tidak lembut.

Untuk pengetahuan anda, serat berus sintetik diperbuat daripada nilon dan juga polimer plastik yang lain. Ini menjadikan kebanyakan berus sintetik hadir dengan variasi saiz dan juga fleksibiliti. Namun, kerana bulu nilon diperbuat daripada plastik, ia cenderung menjadi tidak lancar dan malah boleh cair sekiranya terdedah kepada terlalu banyak haba seperti pengering rambut.

Sementara untuk berus dengan serat semula jadi pula mempunyai salutan unik yang dipanggil kutikula. Dengan kehadirannya, ia berupaya menyerap minyak dari kulit dan kemudiannya melekatkan pigmen serbuk pada permukaan wajah dengan lebih baik.

Tambahan, serat semula jadi seperti bulu haiwan juga cenderung mengembang (spread out) daripada berpaut bersama apabila tekanan dikenakan, yang menjadikannya sesuai untuk mengadun produk dengan lancar dan menghasilkan kemasan licin, sekata dan tidak bertompok.

Maka tidak hairan mengapa para wanita memilih untuk menggunakan berus yang diperbuat daripada serat semula jadi untuk memakai produk berasaskan serbuk seperti pembayang mata, pemerah pipi, bronzer, highlighter dan serbuk kemasan atau tetapan.

Bagaimana Anda Boleh Mengetahui Berus Bulu Khinzir Yang Dijual Di Pasaran?

Berus bulu khinzir kebiasaannya akan mempunyai tekstur atau kemasan yang kaku, kuat dan tahan lama. Selain itu, ia juga mempunyai hujung yang terkoyak dan ia juga tidak berupaya menyerap banyak air.

Walau bagaimanapun, berus bulu khinzir ini dikatakan boleh digunakan dengan baik pada bahan kosmetik yang berasaskan minyak kerana ia boleh mengalihkan cecair dengan lebih mudah.

Dari sudut hasil solekan pula, disebabkan hujung berus yang kasar, ia dilihat tidak memberikan hasil solekan yang kemas kerana ia sukar untuk dibentuk dan dilentur pada permukaan kulit.

Untuk mengenal pasti berus ini, anda boleh melihat warna dan strukturnya. Hampir semua berus bulu khinzir dipasarkan menggunakan warna putih atau cerah dan tidak mempunyai kilauan yang kuat, terutamanya jika dibandingkan dengan kebanyakan rambut sintetik.

Kadangkala, para pengeluar akan menambah coretan cat hitam pada serat untuk menjadikannya kelihatan seperti bulu binatang lain. Selain itu, bulu babi juga cenderung kusut di hujungnya jika dibandingkan dengan bulu sintetik yang mana potongan bulu sintetik adalah lebih konsisten dan rata.

Sumber: teen vogue makeup