Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi kepada anda langkah yang perlu anda lakukan sekiranya anda ingin memohon pulangan semula barangan untuk pembelian di Shopee.

Namun, tahukah anda bahawa terdapat beberapa kategori dan jenis barangan yang tidak dibenarkan untuk dipulang semula kepada pekedai setelah menerimanya?

Untuk mengetahui lanjut, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda senarai barangan yang tidak boleh dipulang semula atau dituntut ‘Return & Refundsekiranya dibeli.

Kategori 1: Barangan Yang Mudah Rosak

Perkara pertama yang perlu anda ketahui adalah barang yang mudah rosak termasuk di dalam senarai barangan yang tidak boleh dipulangkan.

Hal ini kerana, ia mempunyai tempoh hayat yang terhad dan tidak sesuai untuk dipulangkan sekiranya terdapat sebarang kecacatan atau kekurangan pada item tersebut.

Senarai barangan mudah rosak termasuklah:

  • Makanan segar atau sejuk beku seperti ikan, daging, ayam, makanan laut, makanan segera yang dibekukan
  • Produk berasaskan tenusu dan telur seperti mentega, susu, keju dan banyak lagi
  • Bakeri dan pastri
  • Tumbuhan hidup

Kategori 2: Pakaian Dalam Atau Aksesori Kebersihan

Antara sebab mengapa pakaian atau aksesori dalaman tidak boleh dipulangkan semula adalah ia berkaitan dengan isu yang melibatkan kebersihan atau hygiene. Kebiasaannya untuk kedai fizikal, mereka biasanya akan menerima pulangan semula sekiranya plastik tidak dibuka dan masih dalam keadaan seperti asal.

Namun, untuk platform atas-talian, tindakan ini adalah sukar untuk dikawal sekaligus menjadikan pulangan semula untuk produk ini tidak dibenarkan.

Senarai pakaian dalam atau aksesori yang dimaksudkan adalah:

  • Pelitup muka
  • Pakaian dalam lelaki
  • Set lingeri dan pakaian dalam wanita

Kategori 3: Produk Digital

Selain itu, barangan maya atau baucar digital yang tidak melibatkan produk fizikal untuk dihantar kepada pengguna juga tidak boleh memohon untuk pulangan semula.

Antara contoh produk digital yang tersenarai termasuklah:

  • baucar perjalanan
  • tambah nilai mudah alih atau permainan
  • perisian
  • waranti
  • pelan langganan atas-talian
  • tiket dan juga promosi yang ditawarkan dalam ‘Deals Nearby Me

Apakah Proses Untuk Mengendalikan Pemulangan Atau Bayaran Balik Untuk Item Tidak Dipulangkan?

Walau bagaimanapun, untuk item atau produk yang tidak boleh dipulangkan masih lagi berhak untuk memohon bayaran balik daripada pekedai sekiranya mengalami kecacatan ataupun sekiranya menerima produk dalam keadaan yang tidak sempurna.

Namun, Shopee akan meminta pembeli dan penjual untuk menyertakan bukti pembelian dan penerimaan produk yang mana ianya perlu dilakukan dalam tempoh dua hari sahaja.

Jika pembeli memberikan bukti dalam masa 2 hari tetapi penjual terlepas tarikh akhir, Shopee akan memulangkan pembeli (jika bukti pembeli sah), dan penjual boleh membangkitkan pertikaian atau rayuan dalam 3 hari kalendar dengan bukti yang sah untuk mendapatkan pampasan.

Jika bayaran balik adalah disebabkan kesalahan penjual, Shopee berhak untuk tidak membayar pampasan kepada penjual.

Untuk proses bayaran balik juga, Shopee akan membenarkan permintaan bayaran balik untuk barangan mudah rosak dalam tempoh 3 hari selepas penghantaran. Sebarang permintaan yang dibangkitkan selepas tempoh ini tidak akan dilayan kerana Shopee tidak akan dapat menilai keadaan item tersebut.