Lina Rosli Diterbitkan 17 February 2022

Honda Akan Melancarkan Dua Model Baharu Pada Tahun 2022

Selari dengan kejayaan pelancaran Honda City dan Honda Civic pada tahun 2021, kini Honda telah menyusun perancangan mereka yang mana akan memperkenalkan dua buah model baharu pada tahun 2022.

Kedua-dua model yang bakal diperkenalkan kelak dikatakan akan menggunakan teknologi sedia ada iaitu e:HEV, Honda SENSING dan Honda CONNECT. Tidak dinafikan kesemua teknologi ini telahpun menetapkan penanda aras yang tinggi pada setiap model keluaran Honda.

Jadi dengan penawarannya, ia dijangka akan membuka mata umum untuk mula mendapatkan model kereta terbaru daripada Honda pada tahun 2022 ini.

Menurut Honda lagi, rentetan daripada krisis pandemik yang telah berlaku sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini, ia sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada jumlah pengeluaran mereka. Namun, jenama ini menjangkakan bahawa akan berlaku lonjakan sebanyak 50% dalam permintaan pelanggan untuk tahun 2022 ini iaitu sebanyak 80,000 unit berbanding 53,031 unit pada tahun 2021.

Setakat ini, tiada lagi maklumat lanjut tentang tarikh dan waktu pelancaran kedua-dua kenderaan. Jadi, jangan ketinggalan untuk terus mengikuti laman rasmi Honda bagi mengetahui lebih lanjut tentang maklumat lebih terperinci.