Tidak sekadar hadir dengan penawaran kenderaan yang memfokuskan kepada teknologi dan juga pengalaman pemanduan yang lancar, nampaknya Honda juga kini turut menambahbaik servis selepas jualan yang bermanfaat kepada pemilik kenderaan.

Beroperasi sejak tahun 2001 lagi di Malaysia, Honda dilihat sangat aktif dalam memberikan servis yang terbaik kepada pelanggannya yang mana anda sudah boleh mula menempah slot untuk perkhidmatan penyelenggaran kenderaan menggunakan aplikasi mudah-alih Honda Touch.

Tanpa perlu menunggu lama dan beratur panjang di Pusat Servis Honda yang berdekatan, semuanya kini boleh diselesaikan dengan mudah di hujung jari. Bagi yang tidak mengetahui, Honda Touch merupakan aplikasi yang boleh diakses pengguna untuk melakukan tempahan perkhidmatan, bantuan kecemasan serta mengetahui promosi terbaharu dari Honda secara atas-talian.

Untuk menggunakannya, anda boleh memuat-turun aplikasi Honda di kedai atas-talian iOS dan Android bermula hari ini. Kemudiannya, anda hanya perlu mengisi butiran peribadi seperti nombor kad pengenalan sahaja dan sistem akan mengenalpasti rekod dan maklumat pembelian kenderaan anda.

Menarik bukan? Anda tidak perlu risau tentang caj bayaran untuk setiap tempahan servis kerana sistem akan memperlihatkan jumlah yang dikenakan sebelum tiba di pusat servis.