Hari ini, Coca-Cola telah memperkenalkan sebuah rasa baharu dan juga berbeza menerusi produk Coca-Cola Starlight.

Ia merupakan minuman ringan dan berkarbonat yang pertama menawarkan rasa seperti angkasa lepas. Perisa minuman ini telah diuji oleh angkasawan di orbit yang mana ianya merupakan keluaran edisi terhad yang unik dan tidak pernah lagi ditawarkan dalam pasaran.

Untuk pengetahuan anda, Coca-Cola Starlight merupakan kolaborasi Coca-Cola bersama NASA. Jika sebelum ini, Coca-Cola telahpun sedia menguji produk mereka iaitu dispenser soda di atas kapal angkasa.

Menurut Coca-Cola lagi, Coca-Cola Starlight menggabungkan rasa Coca-Cola yang hebat dengan sedikit perisa yang tidak dijangka selain menampilkan warna yang lebih kemerahan berbanding Coca-Cola Classic.

Versi Starlight ini juga menampilkan rasa dengan nota tambahan yang mengingatkan anda kepada bintang di langit. Di tambah lagi dengan kehadiran sensasi yang menyejukkan pastinya membangkitkan perasaan perjalanan sejuk seperti di angkasa.

Setakat ini, Coca-Cola Starlight hanya ditawarkan di Amerika Syarikat sahaja dan dijangka akan diperluaskan di beberapa buah negara terpilih dalam masa terdekat.

Selain memperlihatkan pilihan minuman baharu, di dalam koleksi Starlight ini juga turut ditawarkan beberapa aksesori lain termasut jaket dan sweater, topi, cawan dan banyak lagi dengan rekaan yang sama dengan pada tin Coca-Cola Starlight.

Anda juga boleh merasai pengalaman baharu di dimensi yang dipenuhi cahaya menerusi teknologi realiti terimbuh (AR) yang menampilkan konsert maya Coca-Cola. Anda boleh mengakses konsert bintang pop Ava Max dengan hanya mengimbas botol atau tin Starlight.