Carian
Periksa Perkakas Elektrik Anda – Tips Jimat Air Dan Tenaga Sepanjang Berada Di Rumah
February 18, 2022 Lina Rosli

Dengan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini, majoriti rakyat Malaysia telah kembali bekerja dari rumah dan mungkin ada juga yang mula belajar dari rumah sebagai langkah pencegahan mengekang penularan virus.

Dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan, ramai yang telah menjadikan rumah bukan sahaja sebagai tempat untuk bersama dengan orang tersayang, tetapi juga sebagai tempat kerja, ruang bermesyuarat, dan juga bilik darjah.

Antara kelebihan utama sekiranya bekerja dari rumah adalah pengurangan masa perjalanan ulang-alik yang sekaligus membantu anda mengurus kerja dengan lebih baik di samping dapay menambahkan masa untuk menikmati detik-detik bermakna bersama keluarga.

Walau bagaimanapun, salah satu kekurangan apabila berada di rumah untuk tempoh masa yang lama adalah masalah bil air dan elektrik yang lebih tinggi akibat peningkatan penggunaan peralatan elektrik.

Menurut Tenaga Nasional Berhad, peralatan elektrik dengan sistem penyejukan seperti peti sejuk, penyaman udara dan penapis air adalah antara punca peningkatan bil elektrik. Malah ia sedikit sebanyak turut akan memberi kesan kepada penggunaan air.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk anda mula periksa peralatan rumah yang menyebabkan penggunaan air dan tenaga yang banyak dan dalam pada masa yang sama, pertimbangkan untuk memilih produk yang jimat tenaga agar ia dapat mengurangkan perbelanjaan bil setiap bulan untuk rumah anda.

Bertukar Kepada Model Alat Elektrik Yang Jimat Tenaga

Tidak dinafikan, peralatan lama memerlukan lebih banyak tenaga untuk berfungsi berbanding yang yang baharu, terutamanya peralatan dengan sistem penyejukan seperti penyaman udara dan peti sejuk.

Maka tidak hairanlah kedua-dua alat elektrik ini termasuk di dalam senarai produk yang menyumbang kepada bil elektrik yang lebih tinggi.

Jadinya, anda boleh mempertimbangkan untuk menggantikan peralatan penyejuk lama anda dengan peralatan yang diperakui Energy Star. Perakuan oleh Suruhanjaya Tenaga ini adalah khas untuk pengeluar peralatan elektrik yang mematuhi piawaian ujian prestasi tenaga. Menggantikan peralatan lama mungkin mahal pada mulanya, tetapi ia akan memberi banyak manfaat jangka masa panjang dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan jejak karbon daripada penjanaan elektrik.

Jika anda sudah menggunakan peralatan yang diperakui Energy Star, anda disyorkan untuk membersihkan peralatan dengan kerap untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan memanjangkan jangka hayat produk kerana penapis yang kotor di dalam penyaman udara atau peti sejuk akan menghalang aliran udara dan membebankan peralatan untuk mengekalkan suhu.

Pertimbang Untuk Guna Penapis Titik Masuk Utama (POE)

Apabila bercakap tentang penapis air untuk rumah, ramai yang mengaitkannya dengan penapis air atas meja atau bawah sinki yang menapis kekotoran untuk air minuman yang lebih bersih.

Selain daripada dua jenis penapis air ini, penapis air jimat tenaga titik masuk utama (POE) boleh juga dipasangkan di saluran paip utama yang membekalkan air ke rumah anda. Jika anda sudah mempunyai penapis air di rumah, anda digalakkan untuk menjalankan pemeriksaan berkala dengan pembekal perkhidmatan anda untuk memastikan penapis tersebut berfungsi dengan baik.

Bukan itu sahaja, gantikan model penapis air yang lama dengan model jimat tenaga yang baru apabila sudah tiba masanya. Menurut Encik Koo Zao Cheong, Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, memasang penapis air POE akan membawa banyak faedah untuk kediaman anda. Malah, ia juga merupakan salah satu penyelesaian terbaik kepada pembaziran air dan penggunaan tenaga yang tinggi.

Selidiki Situasi Lekapan Bilik Mandi Dan Dapur

Anda mungkin sering terlepas pandang akan keadaan paip bilik mandi dan dapur anda.

Jika terdapat kebocoran pada paip tersebut, jangan teragak-agak untuk membetulkan kebocoran ini. Hal ini kerana anda boleh menjimatkan air yang banyak setiap hari.

Selain membetulkan paip air yang menitis, anda juga boleh memeriksa sama ada paip dan kepala pancuran mandian anda dilengkapi dengan lekapan jimat air. Berbanding dengan lekapan lama, lekapan bilik mandi yang lebih baru seperti tandas, kepala pancuran mandian dan paip dengan ciri aliran rendah direka untuk kecekapan air berbanding model lama. Melaluinya, ia boleh menjimatkan ratusan gelen sebulan.

Gantikan Mentol Lama Kepada Mentol LED

Apabila kita berada di rumah buat waktu yang lama, sudah pastu lampu akan selalu dipasang. Mentol lampu yang anda gunakan boleh menjadi penyumbang utama kepada bil elektrik anda.

Salah satu cara untuk menjimat tenaga adalah dengan menggantikan mentol pijar kepada mentol LED kerana mentol LED menggunakan sekitar 25% hingga 80% lebih kurang elektrik berbanding dengan mentol pijar.

Sekiranya anda masih menggunakan mentol pijar, pertimbangkan untuk bertukar kepada mentol LED untuk penjimatan tenaga dan jangka hayat yang lebih lama.

Akhir sekali, sama ada anda memilih untuk membaiki peralatan lama atau menggantikannya dengan produk yang lebih canggih dengan ciri cekap tenaga, ianya penting untuk kerap memeriksa peralatan anda demi pengurusan penggunaan air dan elektrik yang lebih efisien.

Bukan itu sahaja, langkah ini turut membantu memanjangkan jangka hayat peralatan. Ini bukan sahaja bermanfaat untuk kediaman dan kualiti hidup kita, ia juga dapat menghasilkan impak positif untuk alam sekitar kita.

Komen