Hospitality 360 yang merupakan sayap hospitaliti MAA Group Berhad kini telah membuka secara rasmi menara setinggi 188 meter iaitu Kuantan 188.

Menerusi pelancaran ini, Kuantan 188 dijangka akan menjadi nadi bandar Kuantan, Pahang. Bagi yang tidak mengetahui, menara ini dilihat menawarkan pengalaman menjelajah bandar Kuantan secara lebih meluas dan seronok.

Anda boleh menikmati pemandangan panorama bandar dan sungai Kuantan selain turut boleh mencuba pelbagai aktiviti lain seperti  ‘Sky Walk’, ‘Drop Zone’ dan ‘Anthena Climb’ yang mana tawaran ini sama seperti yang terdapat di Menara Macau dan Taipei 101.

Menurut Hospitality 360, dengan adanya menara kedua tertinggi di negara kita lebih-lebih lagi di bandar Kuantan, ia secara tidak langsung akan menarik lebih ramai pengunjung ke Malaysia. Di samping itu, kini lokasi pelancongan tidaklah hanya tertumpu di pantai barat negara sahaja.

Kuantan 188 adalah sebuah mercu tanda strategik yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan berkolaborasi bersama Kerajaan Pahang.

Bukan itu sahaja, Kuantan 188 adalah sebahagian daripada siri pembangunan bagi menambah baik tebing sungai Kuantan yang merupakan aset utama dan warisan budaya yang akan meningkatkan tarikan pelancong ke bandar tersebut.

Untuk menikmatinya, anda boleh membeli tiket secara atas-talian di laman web rasmi Kuantan 188, dan mula melawat menara ikonik dengan pemandangan 360 darjah di bandar Kuantan bermula hari ini!

Jangan ketinggalan untuk mengunjungi Kuantan 188 bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada hari biasa atau 10 pagi hingga 12 tengah malam pada hujung minggu dengan tiket bermula dari RM15 untuk orang dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak.

Jika anda ingin mencuba Skydeck, harga tiket bagi dewasa adalah RM28 dan RM18 bagi kanak-kanak bagi.