Carian
Perbezaan Saiz Kisar Serbuk Kopi – Apakah Serbuk Kopi Yang Sesuai Digunakan Untuk French Press?
February 22, 2022 Lina Rosli

Jika anda seorang penggemar kopi dan ingin mencuba untuk membuat kopi sendiri di rumah, Tajria hari ini akan berkongsi kepada anda beberapa jenis saiz kopi kisar dan bagaimana ia akan mempengaruhi hasil kopi anda.

Untuk pengetahuan anda, saiz kisar yang anda gunakan sebenarnya akan memberi kesan kepada rasa kopi selepas ia dibancuh bersama air. Hal ini kerana, semakin halus atau semakin kasar biji kopi yang dikisar, ia akan mempengaruhi kepantasan air melaluinya sekaligus akan menentukan kekuatan kopi anda.

Berikut ialah beberapa pengetahuan kopi untuk membantu anda mencipta secawan kopi yang paling lazat di rumah.

Saiz Kisar – Kasar

Sekiranya kopi yang dikisar anda adalah kasar, maka air yang akan mengalir di antaranya akan bergerak dengan cepat serta hanya mengeluarkan sebahagian daripada rasa sahaja.

Jadi, untuk mendapatkan keseimbangan penuh rasa, sebaiknya anda membancuh serbuk kopi yang kasar ini sedikit lebih lama supaya lebih banyak rasa boleh diekstrak. Sebagai contoh, apabila anda menggunakan French Press, anda boleh bermain dengan masa yang mana berikan tempoh sekitar empat minit untuk menghasilkan rasa kopi yang lebih lazat.

Saiz Kisar – Halus

Biji yang dikisar halus pula akan menghasilkan rasa kopi yang lebih kuat kerana ia mempunyai ruang yang rapat dan kecil di antara setiap serbuk.

Hasilnya, air akan mengambil masa yang lebih lama untuk melepasi semua bahan dan turut mengekstrak lebih banyak rasa. Itulah sebabnya apabila anda membancuh espresso, anda hanya memerlukan sebahagian kecil daripada masa jika dibandingkan dengan teknik French Press yang memerlukan masa yang lebih lama untuk mendapatkan rasa penuh kopi anda.

Namun, Anda Tidak Perlu Sentiasa Gunakan Serbuk Kopi Kisar Halus – Mengapa?

Walaupun biji kopi yang dikisar halus akan mengeluarkan rasa yang lebih menyeluruh, namun ia tidak sesuai untuk membuat minuman tertentu.

Hal ini kerana, setiap teknik bancuhan kopi akan memerlukan pelbagai jenis kisar kopi, dan ia juga bergantung kepada citarasa peribadi.

Di bawah ini adalah garis panduan am untuk memilih saiz kisar terutamanya bergantung pada kaedah bancuhan anda. Anda boleh gunakan garis panduan ini dan laraskan kehalusan atau kekasaran kisar kopi berdasarkan kaedah bancuhan yang ingin dipraktikkan.

  • Kopi Kisar Kasar – Jenis ini sesuai jika anda ingin melakukan kaedah bancuhan yang melibatkan rendaman dalam air, seperti French Press.
  • Kisar Sederhana-Kasar – Tidak sekasar serbuk untuk French Press, jenis kisar ini sesuai digunakan untuk Chemex.
  • Kisar Sederhana – Teksturnya tidak begitu halus dan ianya seakan pasir. Jenis ini adalah pilihan paling popular dan sesuai untuk digunakan pada mesin aeropress.
  • Kisar Sederhana Halus – Lebih halus berbanding kisar jenis sederhana, dan ia dikatakan tidak melekat dan merupakan satu lagi pilihan terbaik untuk kebanyakan pembuatan kopi.
  • Kisar Halus – Akhir sekalig untuk mesin espresso, anda disarankan untuk memilih serbuk kopi yang dikisar halus supaya ia memberikan hasil yang lebih menyeluruh.

Bagi anda yang berminat untuk mencuba mendapatkan kopi kisar mengikut citarasa anda, The Coffee Bean & Tea Leaf menawarkan servis kisar #Leafitustogrind biji kopi secara percuma. Anda hanya perlu pilih jenis biji kopi yang anda gemari dan kisarkannya mengikut saiz yang anda ingini bermula hari ini di cawangan The Coffee Bean & Tea Leaf berdekatan anda.

Komen