Lina Rosli Diterbitkan 24 February 2022

Nike By You, Anda Boleh Menambah Sentuhan Peribadi Pada Kasut

Tahukah anda akan kewujudan platform Nike By You? Dilancarkan pada tahun 1999, Nike By You ialah perkhidmatan yang disediakan oleh Nike yang membolehkan pelanggan menambah sentuhan peribadi pada pakaian dan kasut yang dibeli daripada Nike.

Untuk pengetahuan anda, perkhidmatan ini pada awalnya hanya boleh diakses beberapa cawangan fizikal mereka iaitu Nike By You Studios yang terletak di Kanada, Perancis, England, Eropah, China dan Amerika Syarikat.

Namun kini ia telahpun diperluaskan secara atas talian yang mana semua individu kini boleh menambah kasut atau baju yang dikustomasi mengikut pilihan peribadi. Selain itu, penawaran produk juga kini lebih banyak dan menyeluruh jika dibandingkan sewaktu awal pengenalan yang hanya membenarkan pelanggan menghasilkan rekaan unik untuk kasut Air Force 1 sahaja.

Antara jenis kasut yang boleh anda dapatkan termasuklah:

  • Nike Air Force 1
  • Nike Phantom GT Elite
  • Nike Zoom Freak 3
  • Nike React Miler 2
  • Nike Air Presto
  • Nike React Vision
  • Nike Metcon 7
  • Nike Air Max 90

Apa Bahagian Yang Boleh Anda Ubahsuai Pada Kasut Yang Dipilih?

Di Nike By You, terdapat sekitar 13 bahagian berbeza yang boleh diubahsuai termasuk tapak, tindanan, aksen, lapisan, jahitan, tapak luar, tali, deubré dan banyak lagi. Anda juga diberikan pilihan kemasan, warna dan juga tambahan teks pada bahagian belakang kasut.

Berikut adalah contoh yang dicuba oleh Tajria dalam menghasilkan kasut Nike dengan pilihan warna dan kemasan yang tersendiri.

Apa yang menarik, tiada penambahan caj untuk pengubahsuaian warna dan kemasan yang telah dilakukan. Namun, harus diingatkan bahawa produk ini akan dikecualikan sebarang diskaun atau promosi yang dilakukan di platform atas-talian.

Untuk mula mendapatkan kasut dengan rekaan corak dan warna anda yang tersendiri, anda boleh layari di laman web Nike By You dan mula pilih jenis kasut dan hasilkan gaya yang paling digemari oleh anda.