Carian
Kereta Untuk Keluarga – Honda Odyssey Baharu Tampil Dengan Rekaan Yang Lebih Premium
February 28, 2022 Lina Rosli

Honda Malaysia mengumumkan pengenalan kenderaan serbaguna atau multi-purpose vehicle (MPV) 7 tempat duduk baharu iaitu Odyssey untuk pasaran Malaysia.

Untuk model Odyssey yang baharu, ia adalah kenderaan Completely Built Up (CBU) dari Jepun yang mana ia telah diperkenalkan secara global pada 1994 dan mula memasuki pasaran Malaysia pada 2003.

Menurut Honda, model Odyssey baharu ini dilihat akan memenuhi keperluan pelanggan seperti keluarga atau golongan eksekutif yang mencari kereta dengan kapasiti penumpang yang banyak tetapi masih mengekalkan ciri mewah untuk kedua-dua rekaan luaran dan dalamannya.

Berdasarkan penampilan terbaru Odyssey, ia memperlihatkan penggunaan jeriji hadapan baharu, mempunyai rekaan lampu hadapan dan belakang yang lebih menarik. Melengkapkannya adalah penampilan reka bentuk papan pemuka baharu yang merangkumi petak storan serta menggunakan meter TFT 7-inci yang mana pemandu boleh mengakses maklumat kereta dengan lebih jelas berserta sokongan keselamatan yang lebih baik semasa di jalan raya.

Bukan itu sahaja, Odyssey baharu juga dilengkapi dengan Honda SENSING iaitu teknologi terbaru dari Honda yang berupaya memberikan ketenangan fikiran sepanjang pengendalian kenderaan. Antara kelebihan Honda SENSING termasuk membantu kenderaan berada di dalam lorong yang betul sepanjang masa menerusi sistem LKAS, atau menawarkan pemanduan lancar untuk perjalanan jarak jauh menggunakan sistem ACC.

Bagi yang berminat, Honda Odyssey terbaru boleh didapati dalam tiga warna yang elegan iaitu Platinum White Pearl, Premium Twinkle Black Pearl dan Super Platinum Metallic.

Komen