Kucing yang berbeza umur dan gaya hidup memerlukan sokongan yang berlainan daripada pemilik mereka. Sokongan ini merangkumi sudut pemakanan, keperluan tambahan dari segi perubatan ataupun suplemen serta keperluan emosi dan fizikal.
Bagi yang tidak mengetahui, sokongan melibatkan emosi dan fizikal ini sebenarnya sering diabaikan oleh kebanyakan individu yang mana ramai dalam kalangan pemilik kucing beranggapan sekiranya keperluan makanan telah dipenuhi, maka semuanya telah lengkap.
Hakikatnya tidak. Hal ini kerana kucing bukanlah seperti manusia yang mengetahui dan peka terhadap keadaan kesihatan mereka. Kucing juga tidak mengetahui apakah perkara yang perlu dilakukan untuk memenuhi keperluan tubuh bagi membantu mereka mendapatkan kesihatan pada tahap yang maksima.
Jadinya sebagai pemilik kucing, adalah penting untuk anda memastikan bahawa anda mempunyai masa untuk bermain secara kerap dengan kucing anda, terutamanya jika mereka tinggal di dalam rumah.
Mengapa Kucing Perlu Bergerak Aktif Sekurang-Kurangnya 30 Minit Sehari?
Faktor utama yang memerlukan kucing untuk bergerak aktif adalah disebabkan keperluan janaan bahan kimia semula jadi yang penting dalam tubuh. Dengan kehadiran bahan kimia tersebut, ia membantu kucing mengawasi dan menstabilkan emosi, meningkatkan kualiti tidur dan selera makan serta mendapatkan sistem penghadaman yang berkesan untuk memproses makanan harian.
Bukan itu sahaja, senaman untuk kucing turut dikatakan akan memberi kesan yang positif untuk kesihatan otot dan tulang kucing. Melaluinya, ia akan menampilkan koordinasi otot dan tulang yang baik sewaktu mereka bergerak ataupun bertindakbalas dengan sesuatu perkara.
Bagaimana Cara Untuk Bersenam Bersama Kucing Anda?
Secara purata, kucing di dalam rumah memerlukan kurang satu pertiga kalori daripada kucing luar kerana perbelanjaan tenaga mereka yang lebih rendah.
Oleh sebab itu, untuk memastikan kalori yang diambil dapat dibakar sebaiknya, anda disarankan untuk bermain dengan mereka supaya ia sekurang-kurangnya dapat meningkatkan pergerakan mereka dan mengurangkan kemungkinan penambahan berat badan.
Langkah yang paling mudah untuk mengajak kucing anda bersenam adalah dengan mulakan dengan meluangkan masa sekitar 2 hingga 5 minit untuk bermain dengan kekerapan dua kali sehari. Kemudian, secara beransur-ansur anda meningkat waktu bermain apabila mereka menjadi lebih aktif.
Selain itu, anda juga boleh menyediakan kepada mereka mainan yang boleh mereka mainkan sendiri, atau mainan makanan yang menggalakkan mereka bermain dengan objek untuk mendapatkan beberapa kibbles sebagai ganjaran.
Untuk pengetahuan anda juga, kebosanan boleh menjadi antara penyebab mengapa kucing anda lebih kerap makan walaupun sebenarnya mereka masih lagi tidak lapar. Maka, dengan meluangkan masa beraktiviti dengan kucing anda, pastinya ia berupaya membawa perubahan yang positif untuk kucing anda.