Selepas kejayaan anjuran Bazar Siberturahim untuk tahun 2020 dan 2021, nampaknya CIMB kini tidak ketinggalan untuk membawa semula bazar digital ini kepada orang ramai. Penawaran ini telah memasuki tahun yang ketiga yang dianjurkan secara berturut-turut.

Bagi yang tidak mengetahui, Bazar Siberturahim ialah platform sehenti untuk pelanggan menikmati pelbagai tawaran eksklusif daripada CIMB untuk Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

Namun, apa yang berbeza untuk Bazar Siberturahim kali ini, CIMB Preferred dilihat hadir dengan penawaran yang lebih menarik iaitu Pesta Fesyen Bazar Siberturahim yang pertama kali dianjurkan oleh CIMB Preferred.

Penawaran ini membawakan pertunjukan fesyen raya eksklusif serta butik maya yang menampilkan 24 jenama fesyen dan gaya hidup tempatan. Antara label fesyen yang mengambil bahagian adalah 3thelabel, AMAZÉ, Anuar Faizal, Bahari Asyek, Cosry, Radzuan Radziwill, Pink Jambu, Sri Candy, Wan & Mary dan banyak lagi.

Selain itu, anda juga turut boleh mendapatkan keperluan hiasan rumah dari Eclectic Moroccan Living atau sekiranya anda meminati barangan seni visual yang unik, Perupa dan Mah Meri Cultural Village menawarkan pelbagai item yang bersesuaian dengan keperluan anda.

Menurut CIMB, pengenalan bazar ini sebenarnya menyasarkan untuk mencipta semula pengalaman membeli-belah untuk hari raya dengan menghimpunkan pelbagai tawaran menarik bagi memenuhi keperluan pelanggan semasa musim perayaan.

Bukan itu sahaja, inisiatif ini turut bertujuan untuk mewujudkan peluang perniagaan untuk perusahaan mikro dan menyediakan saluran kepada pelanggan untuk memilih kelengkapan raya dengan lebih mudah dan selamat.

Untuk pertunjukan fesyen Bazar Siberturahim, ia diadakan di Sime Darby Convention Centre bermula 3 Mac hingga 6 Mac 2022 yang mana anda perlu mendaftar slot untuk menonton acara tersebut secara fizikal.