Rambut haruslah sering diuruskan dengan baik. Tanpa nutrien yang cukup, rambut tidak dapat bertahan lama. Malah, jika rambut tidak dijaga dengan rapi, ia juga akan menghasilkan rupa yang tidak menarik sekiranya dipandang.

Oleh sebab itu, dandanan dan penjagaan rambut adalah sangat penting untuk setiap pihak. Lebih-lebih lagi sekiranya anda mempunyai jenis rambut yang sensitif dan memerlukan perhatian yang teliti.

Bercerita mengenai rambut lagi, pernahkah anda mempunyai kesukaran untuk menjaga rambut yang mana anda mempunyai isu rambut kusut walaupun setelah dicuci dan dirapikan? Jika ya, anda sebenarnya mungkin tidak menggunakan alatan atau produk yang tepat untuk rambut anda.

Mengapa Penggunaan Produk Atau Alatan Rambut Yang Salah Boleh Beri Kesan Buruk Pada Rambut?

Menurut penata rambut, mereka mengesahkan bahawa penggunaan alatan atau produk yang salah atau tidak bersesuaian sebenarnya boleh merosakkan rambut.

Sebagai contoh, pemilihan produk yang berasaskan kimia boleh memberikan kesan yang buruk pada jangka hayat dan tekstur rambut. Ia termasuk penggunaan peluntur, pewarna, penggulung dan pelurus yang mana ia akan mempunyai kesan dramatik pada kualiti protein rambut, yang membawa kepada rambut pecah dan keriting.

Selain itu, sekiranya anda menggunakan alat pemanas rambut, ia turut akan memberi kesan kepada kesihatan rambut yang mana ia berkemungkinan besar akan menyebabkan rambut lebih cepat rentan dan tidak bermaya.

Bagaimana Berut Rambut Atau Sikat Yang Bersesuaian Dapat Mengurangkan Risiko Kekusutan Rambut?

Sikat yang baik adalah sikat dengan binaan gigi yang mudah untuk diluncurkan melalui semua jenis rambut. Malah, ia turut memberikan hasil yang baik kepada rambut secara menyeluruh iaitu melalui akar sehingga ke hujung rambut.

Jadinya, berikut adalah beberapa jenis sikat yang boleh anda dapatkan di pasaran selari dengan keperluan rambut anda:

Sikat Paddle

Sesuai untuk semua jenis rambut, lebih-lebih lagi yang menghadapi masalah rambut sentiasa kusut. Maka, sikat jenis ini lebih mudah untuk meleraikan rambut yang tersangkut atau rosak disebabkan oleh permukaannya yang luas berbentuk segi empat. Selain itu, sisiran rambut juga terasa lebih selesa walaupun pada rambut kusut atau keriting.

Sikat Gigi Lebar

Sesuai untuk semua jenis rambut termasuk rambut pendek dan rambut panjang. Selain itu, anda juga boleh gunakan sikat ini semasa rambut anda dalam keadaan basah kerana sewaktu rambut basah, ia lebih mudah rosak apabila disikat.

Untuk pengetahuan anda, sikat gigi lebar juga turut dikenali sebagai sikat jarang dan gigi jauh. Sikat ini tidak semestinya bersaiz besar kerana yang penting ialah jarak antara gigi sikat. Sikat ini amat sesuai bagi mereka yang mengalami masalah rambut gugur.

Sikat Bula

Sesuai untuk rambut tebal dan medium. Sikat bula ini dihasilkan daripada bahan besi yang kini kebanyakannya boleh dipanaskan selepas disambungkan ke punca kuasa. Sikat jenis ini biasa digunakan bersama dengan pengering rambut.

Reka bentuknya yang bulat memudahkan anda menggulung dan menyikat seluruh permukaan rambut sambil mengeringkannya dengan alat pengering rambut. Penggunaan sikat ini akan membuatkan rambut anda kelihatan sedikit berombak.

Sikat Anti Kusut

Sikat anti kusut ini sesuai digunakan untuk semua jenis rambut. Anda boleh menggunakannya untuk menyikat rambut dalam keadaan basah dan kering. Sisiran sikat ini lebih lembut dan tidak merosakkan rambut basah kerana jenis sikatnya yang agak jarang.

Oleh itu, sekiranya anda mempunyai rambut yang kusut, ia boleh mengurangkan risiko tarikan yang kuat pada rambut semasa menyikatnya.

Sikat Bristle Sintetik

Sikat yang sesuai untuk rambut yang tebal dan keriting. Sikat ini dihasilkan daripada bahan nilon dan ada juga jenis sikat yang diperbuat daripada bahan plastik.

Kebiasaannya sikat ini diperbuat daripada bulu babi, jadi anda harus berhati-hati sewaktu memilihnya. Fungsi rambut ini juga digunakan untuk menghilangkan kekusutan pada rambut disebabkan oleh gigi sikatnya yang jarang selain berupaya untuk mengeringkan rambut dengan lebih cepat.

Apabila anda telah memilih sikat yang betul untuk rambut, maka risiko untuk rambut kusut dilihat akan lebih rendah. Namun, jika masalah ini masih berlarutan, anda disarankan untuk mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat dari doktor atau pakar rambut. Melaluinya, anda akan dapat mengetahui sama ada ia disebabkan oleh perkara lain seperti nutrien rambut yang telah kurang serta jenis produk yang berbahaya.