Pernahkah anda mengunjungi ke cawangan stesen minyak Petronas dan mendapati kedai serbaneka Mesra mereka telah mula menjual barangan dan hasil segar di rak-rak jualan?

Jika ya, tahukah anda bahawa Petronas kini membawakan Segar@Mesra di beberapa stesen minyak terpilih? Pengenalan Segar@Mesra merupakan inisiatif bagi memudahkan pembelian hasil segar dari petani terus kepada pengguna.

Dengan ini, pengguna di kawasan sekitar boleh mendapatkan hasil segar tempatan seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan yang mana ia turut dijual pada harga yang berpatutan. Menurut perkongsian di laman web MyMesra, kesemua hasil segar yang dijual akan ditawarkan pada harga di bawah RM10.

Untuk pengetahuan anda juga, Segar@Mesra diperkenalkan dengan kolaborasi bersama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (MDTCA) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan PETRONAS Dagangan Berhad (KDNK) yang mana ia bertujuan untuk membantu para petani menambah mata pencarian. Melaluinya, mereka dapat berhubung secara terus kepada pengguna dengan lebih meluas.

Sekiranya anda tidak sempat untuk berkunjung ke pasar tani, jangan ketinggalan untuk mula mendapatkan keperluan masakan anda di Segar@Mesra yang kini sudah diperluaskan di kebanyakan negeri iaitu Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.

Berikut adalah beberapa hasil segar yang ditawarkan di Segar@Mesra. Harus diingatkan bahawa harga jualan ini mungkin berlainan mengikut kedai:

  • Peladang Ayam Potong – RM10 / 1kg
  • Peladang Paha Ayam Tanpa Tulang – RM10 / 1kg
  • Q’fish Ikan Kembong – RM10 / 1kg
  • Q’fish Ikan Selar – RM10 / 1kg
  • FAMA Fresh Cili Merah – RM4 / 150g
  • FAMA Fresh Jagung Gred A – RM4 / 150g
  • FAMA Fresh Tomato – RM4 / 150g