Tahukah anda, Pizza Hut tahun ini sudah memasuki tahun yang ke-40 penawarannya di Malaysia? Lokasi kedai pertamanya dibuka di Plaza Yow Chuan, Kuala Lumpur pada tahun 1982.

Sewaktu awal pengenalan Pizza Hut di pasaran tempatan, ia dimiliki oleh syarikat yang berpangkalan di Singapura iaitu Cerebos. Selepas pembukaan kedai Pizza Hut yang pertama, Cerebos dilihat mula memperluaskan penawaran jenama piza tersebut dengan membuka 29 cawangan baharu.

Namun, tidak lama selepas membuka operasi di Malaysia, Cerebos telah membuat keputusan untuk menjual francais milik mereka kepada QSR Brands (M) Holdings Berhad pada Disember 1995. Setelah peralihan operasi, cawangan Pizza Hut telah berkembang dengan pesat yang mana kini mempunyai lebih daripada 400 cawangan di seluruh Malaysia.

Apakah Menu Pizza Hut Kegemaran Anda – Paling Dekat Di Hati?

Sepanjang tempoh operasi Pizza Hut di Malaysia, pastinya terdapat beberapa piza yang digemari dan disukai anda. Berikut adalah 5 menu Pizza Hut yang menjadi pilihan Tajria:

  1. Aloha Chicken Thousand Island Sauce– Ia adalah menu pilihan sepanjang masa bagi kebanyakan keluarga. Tidak mempunyai rencah yang terlalu sarat, piza ini menawarkan rasa yang relevan dan boleh dinikmati pada bila-bila masa.
  2. Kari Raya Pizza – Menu yang ditawarkan pada tahun 2021 yang lepas, ianya menawarkan sesuatu yang sangat sinonim dengan rakyat Malaysia. Pizza ini membawakan roti yang didalamnya diisi dengan inti kuah kari dan juga begedil selain turut menambah ayam masala di bahagian atas piza.
  3. Durian Cheese Pizza – Piza ini merupakan antara keluaran yang unik pernah ditawarkan oleh Pizza Hut. Apa yang menjadikannya unik adalah ia menampilkan sos keju yang melimpah di atas roti dan kemudiannya dilengkapi dengan satu ketul durian pada setiap potongan.
  4. Nasi Lemak Pizza – Untuk piza ini pula, ia membawakan menu citarasa Malaysia yang mana menampilkan bahan yang sama seperti pada nasi lemak biasa iaitu sambal pedas, potongan ayam goreng, ikan bilis dan juga timun.
  5. Black Volcano Pizza – Khusus untuk penggemar hidangan trendy, Pizza Hut turut menawarkan roti piza yang diperbuat daripada doh yang diselitkan dengan arang. Melengkapkannya adalah sos keju dan juga ayam bersalut tepung.

Di atas adalah beberapa menu Pizza Hut yang menarik perhatian Tajria. Bagaimana pula dengan anda? Apakah menu dari Pizza Hut yang paling anda gemari?

Sumber: delhibusinessreview