Tanggal 8 Mac 2022, Google hari ini menampilkan sebuah doodle khusus buat wanita yang diraikan di seluruh dunia di laman utama Google.
Doodle ini memperlihatkan ilustrasi bergerak atau tayangan slaid animasi yang menggambarkan kehidupan wanita di seluruh dunia yang hadir dari latar belakang dan budaya yang berbeza.
Dihasilkan oleh Thoka Maer yang merupakan Pengarah Seni Doodle, beliau mengatakan bahawa idea di sebalik ilustrasi ini adalah untuk menceritakan tentang perjalanan atau kisah wanita. Untuk setiap ilustrasi yang digambarkan di dalam doodle ini adalah memfokuskan kepada variasi bidang kerjaya yang dilalui oleh para wanita.
Sebagai contoh, pada awal tayangan slaid animasi, doodle ini menggambarkan tentang kehidupan seorang ibu yang bekerja dari rumah, kemudian diikuti pula dengan kerjaya seorang wanita sebagai doktor, seterusnya sebagai pekebun dan pada slaid akhir pula menunjukkan mekanik wanita yang mengajar kemahirannya kepada generasi akan datang.

Jelas digambarkan bahawa terdapat pelbagai latar belakang wanita yang boleh anda lihat melalui doodle Google sempena Hari Wanita 2022. Ianya tidak hanya tertumpu kepada diri mereka sendiri, tetapi juga bagaimana mereka menyokong dan memberi sumbangan kepada keluarga dan komuniti setempat.
Menurut Thoka Maer lagi, jika sebelum ini, Hari Wanita kebiasaannya meraikan wanita dengan pencapaian luar biasa sahaja. Namun kini adalah sebaliknya yang mana doodle ini diperkenalkan bagi memberi inspirasi kepada gadis muda untuk bermimpi besar.
Sejak pandemik melanda, realiti beberapa tahun kebelakangan ini telah memaksa wanita beralih fokus dan menyesuaikan keutamaan. Maka, sokongan dan juga motivasi perlu diberikan bagi memastikan semua individu dapat bersama bangkit dari kesukaran yang dialami.
Berikut adalah lakaran awal untuk doodle sempena Hari Wanita Sedunia 2022: