Carian
Benarkah Petron Kini Tiada Lagi Caj Pra-Kelulusan RM200, Jika Isi Minyak Guna MyDebit?
March 10, 2022 Lina Rosli

Tahukah anda bahawa bank akan menolak RM200 daripada kad anda apabila anda membuat pembayaran di pam minyak?

Untuk pengetahuan anda, penolakan sejumlah wang tersebut dipanggil sebagai caj pra-kelulusan. Ia merupakan penahanan sementara bagi jumlah tertentu iaitu RM200 untuk Visa dan Mastercard, manakala RM250 untuk Amex.

Menjawab kepada persoalan di atas, penolakan nilai ini dilakukan bertujuan mengesahkan bahawa kad itu aktif dan mempunyai kredit yang mencukupi sebelum transaksi pembayaran bahan api dilakukan.

Setelah urus niaga selesai, bank akan menerima pemberitahuan tentang jumlah akhir yang perlu dibayar, dan sebarang jumlah yang belum digunakan daripada jumlah pra-kelulusan akan dikreditkan semula ke dalam akaun anda dalam masa 3 hingga 5 hari bekerja.

Namun, pada tahun 2020 yang lalu, bank sebenarnya tidak lagi mengenakan caj pra-kelulusan sekiranya anda menggunakan kad ATM MyDebit di stesen minyak Petron.

Mengapa sedemikian? MyDebit adalah skim kad debit nasional Malaysia. Apabila rantaian petrol menerima pembayaran MyDebit, pengguna boleh memilih jumlah bahan api yang mereka ingin beli dan hanya jumlah itu yang disekat semasa mengisi minyak.

Namun, sekiranya pengguna mengisi minyak kurang daripada jumlah yang dipilih pada permulaan, semua jumlah lebihan dikreditkan kembali ke akaun bank mereka serta-merta selepas pengisian bahan api selesai.

Harus diingatkan juga, caj pra-kelulusan ini bukanlah bermaksud bank mengenakan caj tambahan ke atas transaksi. Amaun ini ditolak sewaktu awal transaksi iaitu sebelum bank mengetahui berapa nilai bayaran untuk minyak yang anda isi.

Selain daripada Petron, Petronas turut dikatakan tidak lagi menahan caj pra-kelulusan sebanyak RM200 untuk tempoh lebih dari 24 jam jika anda menggunakan kad debit Maybank. Sebaliknya, caj tersebut akan terus dimasukkan kembali ke dalam akaun selepas selesai mengisi minyam di pam.

Komen