Carian
Pandang Pertama – Pelitup Muka Uniqlo AIRism 3D Baharu
March 13, 2022 Irzan Nawkhi

Tahun lalu Uniqlo Malaysia telahpun melancarkan pelitup muka AIRism yang mengetengahkan material kain terkenal mereka iaitu AIRism. Selang setahun, mereka telahpun menawarkan satu lagi variasi pelitup muka iaitu AIRism 3D, yang mempunyai rekaan baharu dengan bahan fabrik yang sama.

AIRism merupakan sejenis siri kain yang dihasilkan Uniqlo berupaya memberikan keselesaan jangka panjang memandangkan bahan yang digunakan sangat lembut, dan membolehkan kulit ‘bernafas’. Jika anda mempunyai baju atau seluar menggunakan kain AIRism, peluh akan cepat tersejat, dan berupaya menyejukkan badan memandangkan pengudaraan yang baik.

Untuk pelitup muka terbaharu iaitu AIRism 3D ini yang direka oleh Tokujin Yoshioka, ia membawakan beberapa kelainan berbanding pelitup muka AIRism terdahulu.  Rekaan terdahulu mempunyai kelim jahitan disekelilingnya, yang memberikan struktur kepada pencangkuk telinga, dan ini berbeza pada AIRism 3D yang tampak lebih leper menjadikannya lebih nipis, dengan kurangnya jahitan disekeliling pelitup muka.

Versi 3D ini turut mempunyai pengikat boleh ubah pada pencangkuk telinga, membolehkan pengguna mengetatkan pelitup muka mengikut keselesaan. Dan ini mungkin berita baik bagi pengguna wanita bertudung kerana dengan pencangkuk telinga lebih panjang, adalah lebih mudah untuk menggunakan pelitup muka ini dengan pengikat pelitup muka. 

Jika diletak bersebelahan antara AIRism 3D dengan versi terdahulu, reka letak logo AIRism dan label saiz yang perlu dipakai disebelah dalam diletakkan berlainan. Satu lagi kelainan adalah pada kelim jahitan di tengah-tengah pelitup muka pada pelitup muka AIRism 3D baharu yang jelas timbul berbanding model terdahulu. Justeru anda mungkin boleh tersilap pakai pada model lama, berbanding model baharu yang memudahkan anda mengetahui bahagian manakah yang patut berada didalam.

Seperti model terdahulu, ia masih mengekalkan tiga lapisan iaitu lapisan yang memudahkan pengudaraan dan perembesan peluh, lapisan kedua yang terdiri dari penapis bakteria, dan lapisan luar yang menghalang cahaya UV sehingga tahap UPF50+. Namun perlu diingatkan pelitup muka AIRism 3D ini tidak mempunyai piawaian kesihatan justeru kombinasi penggunaan pelitup muka kain dan pelitup muka gred kesihatan adalah digalakkan.

Sepanjang mengujinya dalam tempoh beberapa jam selepas pembelian, boleh dikatakan yang pelitup muka AIRism 3D ini jauh lebih baik berbanding model terdahulu, dan masih mengekalkan keselesaan. Untuk pelitup muka model terdahulu, ia telah mula kendur dan kewujudan pengikat pada pencangkuk telinga pada model terbaharu ini sedikit sebanyak dapat melanjutkan penggunaan pelitup muka ini. Ia juga tidak berasa ‘timbul’ tidak seperti model terdahulu.

Apapun satu lagi perkara yang harus diketengahkan adalah dengan versi terbaharu ini, ia ditawarkan dalam empat saiz berbeza iaitu S, M, L dan juga XL, dengan pilihan warna putih, merah jambu, dan juga biru. Malangnya ia juga mungkin lebih mahal berbanding model terdahulu, dimana untuk 2 helai pelitup muka ini ditawarkan pada harga RM 39.90, berbeza berbanding model terdahulu yang menawarkan 3 helai pada harga yang sama. 

Beli: Pelitup Muka Uniqlo AIRism 3D

Komen