Jika anda lihat pada label rangkaian pembasmi kuman di rata-rata farmasi dan pasaraya, ia memperlihatkan kandungan alkohol dengan nilai kepekatan 70% di dalamnya.
Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa pengeluar tidak meletakkan kandungan alkohol yang yang lebih tinggi nilainya? Bukankah nilai yang lebih tinggi adalah lebih baik dan lebih cepat untuk menghapuskan kuman?
Bagi yang tidak mengetahui, alkohol atau isopropil alkohol (IPA) secara umumnya ialah pembasmi kuman yang sering digunakan di dalam industri farmaseutik, pembuatan elektronik atau peranti perubatan. Ia hadir dengan gred ketulenan dan kepekatan yang berbeza yang mana diselarikan mengikut kesesuaian industri.
Sebagai contoh, antara gred isopropil alkohol yang wujud di pasaran adalah gred industri atau farmaseutikal iaitu USP dan ACS yang merupakan gred spektrofotometrik. USP biasanya digunakan sebagai pelarut dan pembersih untuk pelbagai aplikasi bukan perubatan, termasuk mengelap dan membersihkan tujuan umum. Manakala, ACS pula merupakan standard ketulenan yang lebih tinggi berbanding gred USP dan cenderung diletakkan di dalam produk kosmetik dan penjagaan diri.
Ramai dalam kalangan individu biasanya beranggapan yang mana peratusan kepekatan alkohol yang lebih tinggi dalam rangkaian pembasmian kuman akan memberikan keberkesanan yang lebih besar. Namun, hakikatnya adalah tidak benar.
Hal ini kerana, setiap jenis alkohol mempunyai sifat pembersihan dan pembasmian kuman yang hanya bermanfaat apabila digunakan dengan betul. Sekiranya tidak, ia boleh mencetuskan kesan buruk ke atas diri dan juga persekitaran.
Mengapakah Produk Pembasmian Kuman Menggunakan Isopropil Alkohol Dengan Nilai Kepekatan 70%?
Menurut CDC, isopropil alkohol 99% ialah isopropanol tulen manakala 70% isopropil alkohol ialah isopropanol tulen yang dicairkan dengan 30% air tulen mengikut isipadu.
Penggunaan 70% isopropil alkohol di dalam pensanitasi tangan berupaya membunuh organisma dengan mendenaturasi atau meracun proteinnya dan melarutkan lipid di dalamnya. Campuran ini berkesan bagi membasmi kebanyakan bakteria, kulat dan virus.
Sementara untuk kepekatan alkohol di atas 70% seperti 90% pula dilihat turut dilengkapi dengan sifat yang boleh menghapuskan kuman. Namun disebabkan tiada campuran air, ia perlu digunakan dan disimpan dengan betul. Malah untuk kepekatan 90% ini juga, ia sangat mudah terbakar dan boleh menyebabkan pening jika digunakan dalam kuantiti yang banyak di kawasan kurang pengudaraan.
Mengapa perlu ada air di dalam produk pembasmi kuman? Tujuan utama air adalah untuk memusnahkan atau menghalang pertumbuhan mikroorganisma patogen. Air bertindak sebagai faktor utama yang membantu mendenaturasi protein.
Manakala kandungan isopropil pula memainkan peranan untuk menembusi dan meresap lebih dalam pada bahagian dinding sel. Kesan daripadanya, ia akan menggumpalkan semua protein dan membunuh kesemua mikroorganisma.
Tambahan lagi, kandungan air juga dikatakan berfungsi baik dalam melambatkan proses penyejatan sekaligus memanjangkan masa sentuhan pada permukaan bagi meningkatkan keberkesanan.
Oleh sebab itu, isopropil alkohol dengan nilai kepekatan 70% kini dikategorikan sebagai alat pensterilan kimia. Ia bukan sahaja bertindak baik dalam menembusi sel sebelum menyekat dan membekukan penyebaran mikroorganisma, tetapi juga mengurangkan risiko dan kesan buruk kepada kulit.
Sumber: Mun Global High Tech Conversion