Untuk pengetahuan anda, kira-kira 1 bilion individu yang berusia 12 hingga 35 tahun dikatakan berisiko mengalami masalah kehilangan pendengaran.
Menurut WHO, perkara ini mungkin disebabkan oleh penggunaan peranti audio peribadi yang tidak selamat dan pendedahan kepada tahap bunyi yang kuat di tempat seperti kelab malam, bar, konsert dan acara sukan untuk tempoh yang panjang.
Rentetan daripada itu, WHO telah mengeluarkan piawaian antarabangsa baharu bagi mengurangkan risiko masalah pendengaran ketika berada di kawasan awam. Piawaian ini merujuk kepada pemasangan muzik atau audio yang dimainkan secara kuat yang mana bagi kebanyakan tempat atau acara, mereka tidak menyediakan pilihan untuk individu mendengar dengan selamat (safe listening) sekaligus telah menyumbang kepada risiko kehilangan pendengaran.

Antara cadangan dan piawaian yang diketengahkan untuk mengehadkan risiko kehilangan pendengaran termasuklah:
- pemasangan audio atau tahap bunyi dengan purata maksimum 100 desibel
- pemantauan tahap bunyi bagi acara langsung mahupun rakaman menggunakan peralatan yang ditentukur oleh kakitangan yang ditetapkan
- mengoptimumkan sistem bunyi untuk memastikan kualiti bunyi terjamin disamping menyediakan pilihan pendengaran yang selamat
- menyediakan perlindungan pendengaran peribadi kepada khalayak termasuk arahan penggunaan
- akses ke zon sunyi untuk orang ramai merehatkan telinga dan mengurangkan risiko kerosakan pendengaran
- penyediaan latihan dan maklumat mengenai pengurusan bunyi kepada kakitangan.

Langkah Pencegahan – Lindungi Diri Daripada Pencemaran Bunyi
Pendedahan kepada bunyi yang kuat menyebabkan kehilangan pendengaran sementara atau tinnitus. Namun, jika ia berlaku untuk tempoh yang berpanjangan atau berulang kali, anda beriko menghadapi kerosakan pendengaran secara kekal selain tidak dapat dipulihkan.
Bagi mengatasi masalah ini, anda disarankan untuk:
- meminimakan kelantangan bunyi pada peranti audio peribadi
- menggunakan fon telinga atau fon kepala yang dipasang dengan baik, dan jika boleh gunakan alat elektronik yang menawarkan ciri pembatalan hingar
- memakai penyumbat telinga di tempat yang bising
- mendapat pemeriksaan pendengaran secara berkala