Untuk pengetahuan anda, permintaan terhadap produk atau barangan makanan halal dilihat semakin hari semakin meningkat secara global. Kesan daripada ini, ia secara tidak langsung telah membuka mata ramai pihak yang merangkumi penjual dan pengeluar untuk untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan pensijilan halal bagi produk yang dihasilkan.

Apa yang dimaksudkan dengan makanan halal? Secara umum, makanan atau barang disifatkan sebagai halal haruslah menunjukkan bahawa makanan atau barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh seorang Muslim.

Bukan itu sahaja, makanan atau minuman tersebut juga tidak terdiri daripada atau mengandungi mana-mana bahagian haiwan yang dilarang makan ataupun tidak disembelih mengikut undang-undang Syariah dan Fatwa.

Makanan halal juga perlulah tidak mengandungi sesuatu yang najis, memabukkan, mengandungi mana-mana bahagian manusia atau hasilnya, tidak beracun atau berbahaya kepada kesihatan ataupun bercampur atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak boleh dimakan.

Usah risau, permohonan atau proses untuk mendapatkan status halal ini bukanlah sesuatu yang sukar. Namun, ia tidak boleh dipandang remeh kerana pemohon perlu memenuhi segala piawaian serta prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sebelum mendapatkan Sijil Halal Malaysia.

Perkara ini adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan produk dari variasi sudut sepanjang tempoh penggunaan. Piawaian dan prosedur tersebut termasuklah:

  • Profil syarikat
  • Keterangan produk atau menu untuk disahkan
  • Bahan ramuan yang digunakan
  • Status halal bahan ramuan beserta sijil halal atau spesifikasi produk bagi bahan ramuan kritikal
  • Jenis bahan pembungkusan
  • Proses dan prosedur pengeluaran
  • Peta lokasi premis atau kilang.
  • Lain-lain dokumen seperti HACCP, ISO, GHP, GMP, TQM dan sebagainya

Menurut JAKIM, durasi pengesahan atau tempoh kelulusan permohonan pensijilan halal adalah sekitar 3 hingga 6 bulan sahaja. Namun, terdapat beberapa kes yang mana durasi akan menjadi lebih panjang dan bergantung kepada komitmen industri dan penjadualan audit.

Mengapa Produk Yang Dihasilkan Dari Rumah Tidak Layak Mohon Sijil Halal Malaysia?

Tahukah anda bahawa produk yang dihasilkan dari rumah tidak layak untuk memohon pensijilan halal Malaysia?

Hal ini kerana, syarat utama untuk memohon Sijil Halal Malaysia adalah anda perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi ataupun agensi kerajaan lain. Selain itu, anda juga perlu mempunyai lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta telah mempunyai kilang yang beroperasi sepenuhnya sebelum permohonan dibuat.

Bukan itu sahaja, bagi setiap produk juga, anda perlu membuat permohonan untuk label pembungkusan yang mana ia akan disertakan sekali di dalam pengiktirafan sijil halal bagi produk tersebut.

Menurut perkongsian di dalam Portal Rasmi Halal Malaysia, pemohon yang layak memohon Sijil Pengesahan Halal dikategorikan seperti berikut:

  • Pengeluar atau pengilang produk
  • Pengedar atau penjual
  • Pengeluar sub-kontrak
  • Pembungkusan semula
  • Premis makanan
  • Rumah sembelih

Berdasarkan senarai prosedur yang dijelaskan juga, antara syarat lain yang perlu anda ketahui adalah tempat penyediaan makanan juga harus mempunyai bangunan berasingan dengan tempat tinggal. Jika ia berada dalam bangunan yang sama, hendaklah ada pintu masuk yang berasingan ke
kawasan pemprosesan.

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai prosedur dan piawaian untuk memohon Sijil Halal Malaysia, anda boleh kunjungi ke Portal Rasmi Halal Malaysia bermula hari ini.

Sumber: Panduan Pemohonan Sijil Halal Malaysia