Samsung hari ini telah mengemaskini beberapa ciri baharu pada barisan peranti mereka iaitu Samsung Galaxy A33 dan Galaxy A53 5G.

Jenama ini dilihat mempersembahkan pelbagai keistimewaan yang merangkumi kehebatan rakaman gambar, sokongan kemaskini peranti dan juga ketahanan bateri peranti. Dengan penawaran ini, ia sekaligus menjadikan peranti Samsung antara pesaing utama dalam arena teknologi. Sudahkah anda mengetahuinya? Jika belum, mari kita lihat tawaran menarik yang dikongsikan Samsung tahun ini.

Rakam Gambar Dengan Mudah Dalam Sebarang Situasi

Untuk model Galaxy A33 5G dan Galaxy A53 5G, anda boleh menikmati pengalaman penggunaan kamera yang cukup memuaskan. Untuk siri Galaxy A kali ini, ia memperlihatkan sistem kuad-kamera yang menyokong OIS selain dilengkapi teknologi VDIS yang mampu mengambil gambar yang jelas dan mantap pada setiap masa di sebarang situasi.

Ia turut menawarkan ciri mod malam serba baharu yang boleh menyatukan sehingga 12 imej serentak bagi menghasilkan foto malam kelihatan terang dan kurang hingar. Malah, apabila merakam video dalam persekitaran cahaya malap, ia akan melaraskan kadar bingkai secara automatik untuk mencipta video yang terang dan jelas.

Bukan itu sahaja, Samsung turut memperkenalkan Photo Remaster yang berkemampuan memberi nafas baharu kepada foto lama dan berkualiti rendah. Anda juga boleh menghilangkan dan memadam objek yang mengganggu untuk sesuatu gambar.

Sokongan Kemaskini Android Sehingga 4 Generasi

Perkara ‘Awesome’ lain yang anda boleh dapatkan pada siri Galaxy A kali ini adalah sokongan kemaskini perisian sehingga 4 generasi.

Tindakan ini pastinya akan menjimatkan poket pengguna yang mana anda tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk mendapatkan peranti baharu setiap tahun. Untuk pengetahuan anda, kesemua barisan peranti Galaxy A baharu iaitu Samsung Galaxy A33, A53 dan A73 5G akan menyokong sehingga 4 versi sistem operasi dan kemaskini keselamatan selama lima tahun.

Bateri Yang Lebih Besar Untuk Kesemua Model Galaxy A

Mengenai tempoh penggunaan pula, nampaknya anda kini tidak perlu risau akan ketahanan bateri sehingga perlu mencari tempat mengecas peranti ataupun membawa powerbank tambahan ketika berada di luar.

Hal ini kerana, Samsung telahpun menaiktaraf kapasiti bateri untuk kesemua siri Galaxy A iaitu 5000mAh. Dengan penawaran ini, Galaxy A33 dan A53 5G dijangka menawarkan jangka hayat bateri sehingga dua hari yang mana pengalaman penggunaan seperti menonton dan menstrim kandungan video dengan juga akan menjadi lebih lancar dan juga lebih lama.

Tambah Memori Ikut Keperluan Menerusi Sistem RAM Plus

Seterusnya, siri Galaxy A baharu ini juga sudahpun mula menyokong sistem RAM Plus. Melaluinya, anda boleh menambah memori sebanyak 2GB, 4GB dan 6GB mengikut keperluan pemilik. Anda juga selepas ini tidak akan lagi mempunyai isu mengenai peranti lebih-lebih lagi jika anda seorang pemain permainan video yang tegar atau sering membiarkan aplikasi terbuka ketika bermain peranti.

Peranti Kalis Air Dan Tahan Habuk

Bukan itu sahaja, Galaxy A33 dan Galaxy A53 5G juga menampilkan keistimewaan yang cukup ‘awesome’ iaitu ianya dilengkapi dengan skrin Corning Gorilla Glass 5 dan IP676 yang kalis air dan habuk.

Dengan kehadirannya, pemilik peranti yang kerap melakukan aktiviti lasak akan berasa lebih tenang sepanjang penggunaan peranti kerana binaan peranti kini adalah lebih tahan lasak berbanding sebelumnya.

Jadi, adakah ia cukup awesome untuk anda? Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan siri kali ini, harga jualan untuk Samsung Galaxy A33 5G adalah RM1449. Manakala Samsung Galaxy A53 5G pula dijual pada harga RM1849 sebuah.