Isu pulangan semula barangan pembelian di Shopee bukanlah perkara yang asing lagi bagi sesetengah pihak. Perkara ini mungkin melibatkan barangan yang diterima tidak memenuhi kriteria yang dinyatakan ataupun berada di dalam keadaan yang tidak boleh digunakan.

Walau bagaimanapun, tidak semua barangan yang dibeli boleh melakukan permohonan pulangan semula. Terdapat tiga kategori barangan yang tidak dibenarkan untuk dipulang semula iaitu:

  • Barangan yang mudah rosak
  • Pakaian dalam atau produk kebersihan diri
  • Produk digital atau produk yang melibatkan muat-turun

Untuk produk tersenarai di dalam kategori di atas, anda hanya boleh memohon bayaran balik daripada pekedai sekiranya mengalami kecacatan ataupun sekiranya menerima produk dalam keadaan yang tidak sempurna.

Ingin Melakukan Pulangan Semula Barang Shopee – Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Sudah semestinya, anda harus membungkus produk yang anda dapat sebelum dipulangkan. Ia bagi memastikan produk yang dipulangkan semula dilindungi dari sebarang kecacatan apabila dihantar semula kepada penjual atau Gudang Shopee.

Berikut adalah 6 perkara yang utama perlu anda periksa sebelum menghantar semula barangan anda ke pada penjual:

  1. Pembungkusan jenama asal
  2. Hadiah percuma
  3. Waranti
  4. Tag harga dan tag jenama
  5. Manual penggunaan
  6. Semua aksesori yang disediakan bersama produk

Mengapa anda perlu memastikan barang atau yang dibeli disertakan sekali bersama pembungkusan asalnya? Pertama sekali, pada kotak atau plastik pembungkusan asal akan mempunyai maklumat penting mengenai produk seperti; nama, kod siri, spesifikasi, binaan dan aksesori tambahan yang lain yang memudahkan penjual mengenalpasti produk yang diterima.

Selain itu, anda juga harus mengembalikan barang tersebut dalam keadaan asal atau seperti yang diterima. Ia perlu lengkap dengan semua kemasukan asal seperti:

  • Wayar penyambung jika ia merupakan barangan elektronik
  • Lengkap berpenutup jika barangan tersebut diletakkan di dalam botol atau bekas plastik
  • Jika ia pakaian set, pastikan baju yang dipulangkan dihantar bersama seluar yang padan

Sementara bagi item yang rapuh dan mudah pecah, anda digalakkan untuk menggunakan pelekat Fragile atau Handle With Care sebagai peringatan tambahan kepada kurier untuk mengendalikan bungkusan anda dengan berhati-hati.

Akhir sekali, untuk melancarkan proses pemulangan barangan, anda boleh memasukkan nota dalam bungkusan dengan maklumat berikut:

  • Nama pengguna Shopee anda
  • ID Pesanan
  • Perihalan sebab pemulangan seperti; bagaimana produk itu rosak, tidak berfungsi atau berbeza daripada apa yang anda pesan

Shopee tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan yang disebabkan oleh bungkusan anda yang sewaktu dipulangkan jika mereka mendapati terdapat sebarang kesilapan sewaktu pembungkusan. Pastikan anda mengambil kira keselamatan bungkusan yang mana ia pastinya akan melalui berbilang checkpoint semasa penghantaran.