Tahukah anda bahawa purata jarak penggunaan kasut lari adalah kira-kira 400 batu atau kira-kira 644 kilometer?

Selepas tempoh penggunaan itu, kebiasaannya kasut tidak lagi memberikan fungsi yang sama kepada pengguna. Oleh sebab itu, perlunya anda mencari pengganti kasut yang berupaya untuk menawarkan sokongan dan kestabilan berdasarkan keadaan kaki, postur tubuh dan juga bahagian kaki yang akan menampung beban.

Namun untuk kasut yang lama, usah pula anda tinggalkan dan biarkan tanpa digunakan. Apa yang boleh anda buat adalah dengan menyumbangkannya kepada rakyat di Honduras, Haiti, dan juga Transnistria untuk dijadikan sebagai peluang perniagaan. Melaluinya, mereka bukan sahaja dapat melancarkan dan mengekalkan perniagaan kecil milik sendiri bagi kasut lama yang diterima, malah turut menggunakan peluang tersebut untuk tujuan yang baik.

Project Love Sneaker Oleh Running Lab dan Soles4Souls

Baru-baru ini, Running Lab dan Soles4Souls hadir dengan sebuah kempen iaitu Project Love Sneaker. Sepanjang kempen ini berlangsung, anda boleh mendermakan kasut-kasut lari yang lama untuk dikitar semula bermula 1 hingga 30 April 2022.

Bagi setiap pasang kasut yang didermakan, anda akan menerima baucar kasut RM150 Running Lab sebagai ganjaran. Untuk mendapatkannya, jangan lepaskan peluang anda untuk mengunjungi kedai Running Lab yang terletak di:

  • Running Lab Pavilion, Lot 5.102.02, Level 5, Pavilion Elite
  • Running Lab The Gardens Mall, Lot No. T-227, 3rd Floor, The Gardens Mall

Pengenalan kempen ini sudah diperkenalkan sejak tahun 2010 di Singapura yang mana Project Love Sneaker ini semakin mendapat tarikan dan minat orang ramai.

Apakah Keadaan Dan Jenis Kasut Yang Boleh Didermakan?

Sekiranya anda berminat untuk menderma, berikut adalah beberapa syarat kasut yang perlu anda ikuti:

  • Kasut lari bersih yang dalam keadaan boleh diguna semula akan diterima.
  • Semua bahagian kasut mestilah utuh.
  • Tidak boleh ada lubang pada tapak atau bahagian atas kasut.
  • Tapak kasut tidak boleh lusuh sepenuhnya.

Jenis kasut yang tak boleh didermakan:

  • Kasut kanvas seperti Converse atau Vans
  • Kasut spike
  • Kasut dengan rekaan yang fancy

Untuk anda yang tidak mempunyai kasut lari dan masih ingin menderma kepada Running Lab, anda turut boleh menderma kasut lifestyle yang kelihatan seperti kasut lari. Namun, anda perlu memastikan kasut tersebut masih berada dalam keadaan yang elok.

Anda juga turut boleh menderma kasut lari untuk kanak-kanak. Pihak Running Lab masih akan menerima kasut tersebut asalkan ia dalam keadaan yang elok dan boleh diguna semula.