Min Ahmad Diterbitkan 22 March 2022

Berapakah Jumlah Telur Yang Boleh Anda Makan Setiap Hari?

Telur merupakan salah satu makanan yang mudah diperolehi disebabkan oleh faktor harganya yang murah dan boleh disediakan dalam pelbagai bentuk masakan. Selain itu, ia mempunyai kandungan protein yang tinggi, menjadikan telur sebagai salah satu bahan masakan yang popular. Namun begitu, berapakah had jumlah telur yang boleh dimakan dalam sehari?

Faktor umur, genetik, sejarah kesihatan keluarga, cara penyediaan telur, pola pemakanan anda secara umum serta di mana anda tinggal mempengaruhi faktor berapakah jumlah telur yang boleh anda makan dalam sehari.

Untuk seorang dewasa yang sihat dengan kadar kolesterol badan yang normal serta tidak mempunyai risiko untuk penyakit berkaitan dengan jantung, 1-2 biji telur sehari adalah jumlah yang disarankan. Jumlah ini adalah berdasarkan selain protein, telur juga merupakan sumber zat besi, kalsium, magnesium serta vitamin seperti vitamin B, D dan E yang baik. Pada pengambilan disarankan beserta dengan pengambilan makanan lain yang seimbang, telur mampu menyeimbangkan kadar kolestrol baik dan jahat dalam badan.

Mengikut statistik tahun 2018, secara purata, negara dengan rakyat yang paling banyak memakan telur ialah Jepun pada kadar 320 biji per individu setiap tahun, iikuti oleh Mexico, China dan Paraguay. Malaysia sendiri terletak di tangga nombor 6 di belakang Ukraine. Manakala Afrika Selatan ialah negara yang mempunyai tahap pengambilan telur yang paling rendah, iaitu 130 biji telur per individu.

Namun begitu adakah telur merupakan sumber protein yang terbaik? Bergantung kepada tahap kolesterol dalam badan anda, terdapat banyak lagi sumber protein yang boleh anda pertimbangkan. Selain makanan laut, daging ayam, daging itik, susu, keju dan yogurt, kekacang seperti kacang soya, kacang merah, kacang hitam, kacang dhal, dan kacang kuda juga merupakan sumber protein yang baik dan murah. Kandungan protein untuk hidangan secawan kekacang adalah setanding dengan jumlah protein dalam satu aun daging yang dipanggang. Tambahan lagi kekacang tinggi dengan kandungan serat yang diperlukan badan.

Namun begitu sebagai peringatan, sekiranya anda mempunyai masalah buah pinggang, diet tinggi protein yang mengandungi kekacang, daging, dan telur adalah tidak digalakkan untuk mengelakkan buah pinggang anda “kepenatan” menapis protein dalam badan anda. Sila rujuk dengan pakar pemakanan ataupun doktor untuk maklumat yang lebih lanjut.