Jika anda pernah mengunjungi restoran Thai, maka anda mungkin sudah mencuba hidangan sup Thai istimewa yang biasanya dikenali sebagai Tom Yum Goong atau Tom Yum.

Berasal dari Thailand, Tom Yum merupakan hidangan berkuah yang biasanya diletakkan udang di dalamnya dan mempunyai rasa yang masam, pedas dan sedikit manis.

Untuk pengetahuan anda, perkataan Tom Yum bermaksud “mendidih” atau “panas”. Ia turut merujuk kepada hidangan yang “pedas dan masam”.

Hidangan berkuah ini disediakan dengan cara menggabungkan bahan-bahan segar yang merangkumi makanan laut atau ayam serta daging dan kemudiannya akan dilengkapkan dengan sos dan herba segar seperti jus limau nipis, sos ikan, daun limau purut, lengkuas, lada tumbuk dan serai. Namun, ada juga individu yang menyediakan Tom Yum menggunakan pes khusus yang telah siap disediakan di dalam botol.

Selain Tom Yum, terdapat beberapa hidangan berkuah yang lain seperti Tom Kha, Tom Som Dan Tom Kloang. Jadi, apakah yang berbeza untuk kesemua hidangan ini?

Tom Kha

Tom Kha atau Tom Kha Gai adalah sup ayam kelapa Thailand.

Kha secara umumnya bermaksud lengkuas. Jadinya, bahan utama untuk hidangan ini adalah lengkuas. Jika anda perasan, rata-rata hidangan sup istimewa Thai akan menggunakan lengkuas yang mana ia mempunyai rasa yang lebih pedas dan aroma yang lebih kuat berbanding dengan halia.

Tidak seperti Tom Yum, tekstur kuah Tom Kha adalah lebih berkrim, sedikit masam dan masin serta agak manis. Bahan lain yang boleh anda dapati di dalam Tom Kha termasuklah ayam yang dipotong kecil, cendawan dan juga daun ketumbar segar.

Untuk mendapatkan kuah yang keruh dan berkrim pula, ia menggunakan santan yang diletakkan sedikit sahaja untuk mendapatkan rasa yang seimbang untuk setiap hidangan.

Tom Som

Hidangan sup istimewa Thai yang ketiga adalah Tom Som. Perbezaan utama untuk hidangan ini adalah penawaran asam jawa iaitu som makaam di dalam kuahnya.

Menurut masyarakat Thai terdahulu, Som merujuk kepada hidangan yang masam. Makanya, masam tersebut boleh datang dari pelbagai sumber, termasuk pes asam jawa, daun senna (makaam kaek) atau cuka yang diawet secara semula jadi (nam som nam taan tanod).

Selain daripada bahan yang masam, Tom Som juga diperbuat daripada pes cili yang mengandungi bawang merah, akar ketumbar, gula aren dan sos ikan. Kebiasaannya juga, masyarakat Thai akan menggunakan ikan sebagai pelengkap hidangan ini sama ada ikan tenggiri, siakap atau tilapia.

Jadi, manakah hidangan yang anda gemari? Adakah anda telah mencuba ketiga-tiga hidangan ini?

Sumber: Guide Michelin