Carian
Ingin Jadikan Hamster Sebagai Haiwan Peliharaan? Ini 5 Baka Popular Yang Perlu Diketahui
March 22, 2022 Lina Rosli

Jika anda berminat untuk menjadikan Hamster sebagai haiwan peliharaan anda, terdapat beberapa jenis atau baka yang boleh anda pilih.

Hamster adalah haiwan peliharaan yang sangat popular dalam kalangan kanak-kanak yang mana mereka tidak hanya comel tetapi juga mudah untuk diuruskan sepanjang tempoh penjagaannya.

Menurut kebanyakkan penggemar hamster juga, haiwan kecil ini tidak memerlukan banyak perhatian yang banyak. Sudah mencukupi hanya menyediakan mereka tempat bersenam dan bekalan makanan yang bersesuaian untuk mereka.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan juga bahawa anda masih perlu mengetahui dan memahami sekurang-kurangnya pemahaman asas tentang penjagaan hamster termasuk diet pemakanan dan juga tabiat harian mereka sebagai haiwan peliharaan.

5 Baka Hamster Yang Boleh Anda Pilih Untuk Dijadikan Sebagai Haiwan Peliharaan

Tahukah anda bahawa hamster sebenarnya datang dalam pelbagai warna dan baka yang mana semuanya mempunyai ciri tersendiri?

Berikut ialah lima baka hamster yang paling popular:

Syrian Hamster

Ia juga dikenali sebagai Golden Hamster yang mana ia mempunyai saiz yang besar jika dibandingkan dengan baka yang lain.

Bukan itu sahaja, jika anda menggemari spesies hamster dengan bulu yang lebat, maka Syrian Hamster merupakan pilihan yang bersesuaian dengan keperluan anda. Dari segi jangka hayat pula, rata-rata spesies ini akan hidup sekitar 2 hingga 3 tahun sahaja.

Winter White Dwarf Hamster

Winter White Dwarf Hamster atau Siberia Hamster merupakan spesies hamster yang sangat kecil. Saiz puratanya hanyalah sebesar 4-inci panjang dengan berat sekitar 20 hingga 25g.

Dari segi bulu mereka pula, Winter White Dwarf Hamster mempunyai jalur garisan gelap di bahagian belakang badan selain mempunyai warna bulu seakan warna kelabu dan coklat. Mengenai jangka hayatnya, spesies ini mempunyai usia yang lebih singkat berbanding Syrian iaitu sekitar 1 hingga 2 tahun.

Roborovski Hamster

Satu lagi spesies hamster kecil, Roborovski Hamster mempunyai saiz yang kecil lebih kurang sama seperti saiz Winter White. Ianya boleh berkembang sehingga 4-inci panjang. Membezakannya adalah tempoh hayatnya yang lebih panjang iaitu sehingga 3 tahun setengah sahaja.

Menurut perkongsian Pets Radar, spesies ini antara yang terpantas untuk baka kerdil selain ia tidak mudah terdedah kepada sebarang penyakit haiwan. Untuk mengenali hamster jenis ini, anda akan mendapati terdapat tanda putih di atas mata mereka serta mempunyai bentuk telinga yang tegak.

Chinese Hamster

Hamster jenis ini mempunyai panjang tubuh sekitar 4 hingga 5 inci selain menampilkan warna bulu yang lebih gelap yang mana secara kasar, ia kelihatan seperti tikus pemangsa yang kecil.

Sekiranya anda berminat untuk menjaga hamster yang hidup bersendiri, Chinese Hamster merupakan pilihan yang tepat kerana mereka tidak gemar untuk tinggal secara berpasangan. Walau bagaimanapun, spesies jenis ini juga sangat susah nak dijumpai di Malaysia.

Campbell Dwarf Hamster

Secara fizikalnya, Campbell Dwarf Hamster mempunyai telinga yang besar yang menjadikan haiwan kecil ini tampak lebih comel. Ia juga menampilkan corak yang menarik pada bahagian belakang badan iaitu belang yang nipis seperti tupai.

Spesies ini boleh dikatakan agak cerewet yang mana apabila mereka berasa tidak selesa dan hendak marah, ia mungkin akan mencari jalan keluar dan mula menggigit. Untuk pengetahuan anda juga, antara 4 spesies hamster di atas, Campbell Dwarf Hamster cenderung untuk berjaga pada hari malam dan menginginkan perhatian yang lebih daripada tuannya. Durasi hayat Campbell Dwarf Hamster adalah sekitar 1 tahun setengah sehingga 2 tahun sahaja.

Di atas adalah 5 dari 24 spesies hamster yang boleh didapati di pasaran. Bagi anda yang berminat untuk menjaga dan memelihara hamster pastikan anda memenuhi 3 perkara ini:

  1. Memastikan mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekurang-kuranya setahun sekali. Sementara hamster yang lebih tua pula perlu diperiksa dua kali setahun. Langkah ini bagi memastikan haiwan kecil ini tidak mempunyai keadaan fizikal yang buruk selain mengandungi parasit di dalam tubuh.
  2. Menyediakan makanan segar kepada hamster anda. Sebagai contoh, anda boleh memberikan kepingan kecil buah-buahan dan sayur-sayuran segar bagi membantu haiwan kesayangan anda menikmati makanannya sambil mendapatkan nutrisi yang seimbang. Namun, pastikan hidangan tersebut tidak melebihi kira-kira 20% daripada dietnya.
  3. Bersihkan sangkar setiap minggu dan tukar tempat tidur mereka setiap bulan. Perkara ini bergantung pada jenis sangkar yang anda gunakan untuk hamster anda.

Sumber: Pets Lover Centre

Komen