Sebut sahaja Negeri Selangor, pastinya bermacam-macam perkara akan bermain di minda anda. Ia merangkumi makanan yang lazat, barang kelengkapan yang berbagai dan lokasi percutian yang menarik untuk anda terokai.
Ya benar, terdapat pelbagai tarikan menarik untuk dilawati di Negeri Selangor. Anda boleh melihat sendiri keunikan negeri ini yang mungkin disebabkan oleh elemen gastronominya yang dipengaruhi oleh pelbagai budaya dan tradisi.
Sekiranya anda berkunjung ke Selangor, jangan lupa untuk singgah di Selayang. Anda boleh menikmati pelbagai jenis juadah dari sarapan hingga ke makan malam. Berikut adalah senarai hidangan yang boleh anda cuba:
Sarapan Pagi di Nasi Lemak Ujang Corner
Nasi Lemak Ujang Corner ialah tempat sarapan yang popular dalam kalangan penduduk tempatan, menyajikan pelbagai hidangan termasuk rendang daging, kari daging, kari ayam dan ayam goreng.
Bagi anda yang menggemari Nasi Lemak, jangan ketinggalan untuk mencuba hidangan ini bersama lauk-pauk yang disajikan sebagai pelengkap rasa.
Alamat : Jalan 2/16, Dataran Templer, 68100 Batu Caves, Selangor.
Makan Tengah Hari di Restoran Kari Kepala Ikan SG
Jika anda sedang mencari lokasi untuk makan tengah hari di Selayang, bolehlah singgah ke Restoran Kari Kepala Ikan SG.
Terdapat pelbagai jenis makanan untuk dipilih dan dicuba seperti kari kepala ikan, ayam pandan, kerabu mangga, serta menu pilihan lain. Selain itu, restoran ini juga menampilkan suasana yang mesra- pengunjung yang mana anda boleh menikmati hidangan yang lazat bersama yang tersayang.
Alamat : 10-12, Jalan SG 1/8, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor.
Minum Petang di The Rack Boutique Cafe
Jika anda mahukan hidangan yang lebih ke arah barat, The Rack Boutique Cafe adalah pilihan untuk minum petang yang anda perlu cuba.
Ia bukan hanya menawarkan pelbagai hidangan, anda juga boleh memesan menu shellout, pasta, lamb chop, masakan grill, dan juga pencuci mulut. Malah, hidangan dulang juga menjadi salah satu pilihan ramai pelanggan di sini, yang tentunya lebih berbaloi.
Alamat : 1, Jalan Os 1/4, One Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor.
Makan Malam di Golek-Golek Suasana Kampung
Restoran ini menampilkan menu masakan Melayu, Cina, dan Barat yang pastinya memberikan nikmat yang maksima kepada perut anda.
Antara yang paling popular ialah ikan bakar dengan sambal petai, udang galah gulai lemak, keli salai, dan sotong, lala, ketam, dan kerang. Ikan bakar menjadi menu pilihan pelanggan di sini yang mana rata-rata pelanggan di Golek-Golek Suasana Kampung berpuas hati dengan masakan, perkhidmatan dan keselesaan yang ditawarkan.
Alamat : Lot 2074, Lingkaran Tengah 2, KM10, Gombak, 68100 Selangor.
Makan Lewat Malam di Daily Burger
Daily Burger beroperasi sehingga pukul 3.00 pagi, jadi jika anda ingin dapatkan makanan pada lewat malam, mereka mempunyai beberapa pilihan yang menarik.
Antaranya, OG Burgers yang disediakan mengikut citarasa dengan tambahan bahan lain seperti kepingan nanas, yang menghasilkan rasa masam dan manis yang lebih menyelerakan. Selain daripada pilihan burger ayam dan lembu, terdapat beberapa pilihan patty seperti rusa, arnab, dan kambing.
Alamat : 3, Jalan SG 1/11, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor.
Selain dari tempat-tempat yang disenaraikan atas, Negeri Selangor mempunyai banyak lagi restoran dan tempat makan yang menarik yang perlu anda terokai terutamanya pada tahun 2022.
Namun, bagi mengekalkan kesejahteraan ramai, anda diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka pada setiap masa di khalayak ramai, dan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman.
Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #PusingSelangorDulu.