Makanan pedas adalah sesuatu yang sinonim dengan budaya kita. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini sudah menjadi trend untuk makan makanan pedas dengan pengenalan kepada menu dari luar seperti Korea dan Indonesia seperti yang mengandungi perisa atau bahan perasa yang pedas berapi. Namun begitu, adakah makanan pedas selamat untuk dimakan setiap hari?
Cili mengandungi capsaicin yang memberikannya rasa pedas. Apabila anda memakan cili, rasa pedas yang anda alami bukanlah deria rasa tetapi ialah rangsangan pada deria rasa sakit TRPV1 yang terdapat di lidah yang dirangsang oleh capsaicin. Capsaicin juga merangsang reseptor pada lidah yang mengesan haba, yang menyebabkan makanan pedas terasa “panas”. Oleh yang sedemikian, rasa pedas bukanlah deria rasa sebaliknya sensasi rasa sakit dan panas yang disebabkan oleh tindak balas kimia antara capsaicin dan sensori neuron dalam badan anda.
Sebaik sahaja anda makan makanan yang pedas, badan anda akan cuba untuk mengurangkan rasa panas yang dirangsang oleh capsaicin tersebut dengan berpeluh dan bernafas dengan cepat untuk menyejukkan rasa panas tersebut. Badan juga akan merembeskan air liur, air mata dan hingus untuk mengurangkan impak kepedasan.
Walaupun makanan pedas adakalanya merengsakan, terdapat juga beberapa kebaikan memakan makanan pedas. Pengambilan makanan pedas pada kadar yang sederhana mampu merangsang kadar metabolisme badan kerana ia menggalakkan peredaran darah. Malahan ia dikatakan mempunyai kesan positif untuk bakteria dalam perut dan pengawalan berat badan. Capsaicin juga bersifat antioksida yang mampu mengurangkan kadar kolestrol dalam darah dan deposit lipid.
Komponen capsaicin yang sifat antiradang juga membantu mengurangkan kesakitan akibat keradangan sendi dan otot. Oleh yang sedemikian tidak hairanlah sekiranya capsaicin digunakan sebagai salah satu bahan dalam salap panas berubat yang digunakan untuk melegakan keradangan. Malahan terdapat juga dakwaan yang mengatakan makanan pedas mampu merangsang daya ketahanan badan dalam melawan penyakit dan bersifat antitumor. Namun begitu, dakwaan ini memerlukan kajian yang lebih teliti dan mendalam untuk membuktikan keberkesanan capsaicin dalam situasi tersebut.
Walaubagaimanapun, pengambilan makanan pedas yang berlebihan juga boleh mendatangkan mudarat. Pengambilan makanan pedas secara berlebihan boleh mengakibatkan anda mengalami masalah asid refluks dan ulser perut. Oleh yang sedemikian, mereka yang mempunyai masalah GERD (gastroesophageal reflux disease – sejenis masalah asid refluks kronik) dan sindrom iritasi usus (irritable bowel syndrom) tidak digalakkan untuk memakan makanan yang terlalu pedas.
Jadi pada kadar yang sepatutnya, pengambilan makanan pedas adalah disyorkan. Namun begitu, bergantung kepada tahap kepedasan, anda tidak disarankan untuk mengambil makanan pedas setiap hari. Tiada masalah untuk anda makan makanan pedas sekiranya anda secara umumnya mempunyai tahap kesihatan yang baik dan tidak mempunyai isu-isu penghadaman lain. Walaubagaimanapun, bersederhanalah dalam pengambilan makan pedas dan sertakan dengan komponen makanan seimbang dengan pengambilan air yang cukup.