Secara amnya, keropok dan kerepek adalah makanan yang dimakan antara waktu makan utama. Ramai dalam kalangan individu akan menikmati snek keropok atau kerepek sekurang-kurangnya sekali dalam sehari.

Senario yang paling biasa anda mendapatkan snek ialah sewaktu perut anda mula berkeroncong beberapa jam selepas menikmati hidangan terakhir sama ada selepas sarapan, atau makan tengahari dan juga makan malam. Selain itu, snek juga turut diambil apabila berlaku penurunan tahap tenaga yang boleh diatasi dengan gigitan kecil.

Bercerita mengenai snek lagi, tahukan anda apakah yang membezakan keropok dan kerepek? Adakah ia dihasilkan daripada bahan yang berbeza?

Keropok Dan Kerepek – Apakah Perbezaan Kedua-Dua Snek Ini?

Untuk pengetahuan anda, perbezaan yang menjadikan keropok dan kerepek berbeza sebenarnya adalah bahan utama yang digunakan.

Keropok adalah snek yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan daripada sumber haiwan seperti ayam, ikan atau makanan laut yang lain termasuk udang dan ketam. Ia kemudiannya dicampur dan diadun dengan tepung gandung untuk membentuk sama ada kepingan nipis atau apa-apa saiz lain yang bersesuaian.

Selain dihidangkan sebagai makanan ringan atau snek, keropok turut banyak disertakan di dalam hidangan pelengkap di dalam sajian seperti nasi kerabu, soto ayam, gado-gado dan banyak lagi.

Sementara kerepek pula kebanyakannya diperbuat daripada tumbuhan seperti pisang, ubi kayu, kentang, keledek, bawang dan sebagainya. Untuk menghasilkan kerepek juga, anda akan menghiris sumber utama yang digunakan secara nipis sebelum digorengkan di dalam minyak yang panas.

Selain keropok dan kerepek, terdapat juga snek yang dikenali sebagai amplang yang mana ia banyak dijumpai di sekitar Sabah dan Sarawak. Amplang merupakan snek keropok ikan yang berasal dari Indonesia. Ia biasanya diperbuat daripada ikan tenggiri dan dicampur dengan pati dan bahan lain, dan kemudiannya digoreng.

Bentuk dan saiz amplang mungkin berbeza-beza yang mana anda mungkin menjumpai amplang berbentuk panjang, dadu ataupun bola ping-pong. Ia turut mempunyai warna yang berbeza di antara warna kuning hingga coklat muda.