Lina Rosli Diterbitkan 29 March 2022

Bila, Mengapa dan Bagaimana Alopecia Areata Berlaku?

Rambut gugur adalah normal bagi sesetengah individu. Terdapat beberapa kajian telah dijalankan dan mendapati seseorang akan kehilangan rambut sekurang-kurangnya 100 helai rambut sehari.

Namun, jika individu mendapati helaian rambut yang berguguran di lantai atau getah rambut adalah banyak, maka ia perlu diselidiki dan berjumpa dengan doktor untuk tindakan seterusnya.

woman holding black and gray hair dryer

Menurut pakar, rata-rata individu mempunyai kira-kira 100,000 helai rambut di kepala mereka. Oleh itu, kehilangan kira-kira 100 hingga 125 rambut setiap hari pastinya tidak akan membuat perubahan besar dalam penampilan.

Walau bagaimanapun, bagi individu yang mempunyai rambut panjang, keguguran yang berlanjutan berkemungkinan besar akan memberikan kesan kepada volume rambut.

Terdapat banyak faktor yang mendorong kepada keguguran rambut. Antaranya adalah disebabkan oleh tekanan dan keadaan kesihatan. Selain itu, ada juga yang turut berpunca daripada sistem imun yang dikenali sebagai Alopecia Areata.

Apa Itu Alopecia Areata?

Alopecia areata adalah gangguan autoimun yang menyebabkan rambut anda gugur secara bertompok. Jumlah keguguran rambut adalah berbeza pada setiap orang yang mana sesetengahnya berlaku keguguran rambut pada beberapa kawasan kulit kepala sahaja.

Namun, sekitar 5% individu yang mengalami Alopecia Areata turut terjejas kehilangan setiap rambut di badan mereka termasuk kening, bulu mata dan juga bulu hidung.

Tidak hanya terhad pada orang dewasa sahaja, Alopecia areata boleh menjejaskan semua peringkat umur termasuk kanak-kanak kecil.

Terdapat pelbagai jenis keadaan ini, antaranya adalah:

  • Alopecia areata totalis merujuk kepada kehilangan semua rambut di kepala.
  • Alopecia areata universalis pula ialah keguguran rambut di seluruh badan.
  • Diffuse alopecia areata melibatkan keadaan rambut yang makin menipis secara tiba-tiba.
  • Ophiasis alopecia areata hanya berlaku pada bahagian sisi dan belakang kepala yang mana rambut gugur dalam bentuk jalur.

Apakah Gejala Atau Simptom Alopecia Areata?

Bagi anda yang ingin mengetahui gejala Alopecia Areata, biasanya ia akan memperlihatkan tompok botak kecil pada kulit kepala anda atau bahagian lain badan anda. Tompok tersebut mempunyai potensi untuk menjadi lebih besar dan bergabung dengan tompok yang lain.

Selain itu, ada juga keadaan yang mana rambut akan tumbuh semula di satu tempat dan gugur di tempat lain. Keguguran rambut ini cenderung berlaku lebih banyak apabila berada di dalam persekitaran yang sejuk.

Bukan sekadar rambut sahaja, kuku jari dan kuku kaki turut akan menjadi merah, rapuh, dan berlubang.

Apakah Faktor Yang Menyebabkan Alopecia Areata?

Setakat ini, tiada faktor yang mendorong kepada Alopecia. Terdapat dua kemungkinan serangan ini boleh berlaku. Salah satunya ialah penyakit autoimun yang mana ia mencetuskan serangan sistem imun dalam badan.

Serangan ini berlaku akibat sistem imun anda keliru dan menganggap folikel rambut sebagai benda asing pada tubuh. Bentuk autoimun yang khusus ini adalah kecenderungan sepanjang hayat yang boleh diwarisi daripada mana-mana ibu bapa.

Kemungkinan yang kedua adalah tekanan sebagai pencetus. Namun, jika melibatkan tekanan, secara umum ia hanya berlaku beberapa bulan selepas kejutan fizikal atau emosi dan biasanya keguguran rambut atas faktor ini hanyalah bersifat sementara.

Sumber: The Conversation Mayo Clinic AAD