Tahukah anda bahawa setiap mesin layan diri sama ada yang menawarkan minuman dan makanan perlu diselenggara dan diletakkan di kawasan yang bersih dan bebas pencemaran?

Sekiranya anda mendapati mesin tersebut tidak menepati keperluan kebersihan yang telah ditetapkan, anda sebenarnya boleh memfailkan aduan ke atas mesin tersebut kepada KKM.

Hal ini kerana, berdasarkan Garis Panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Pada Tahun 2021, bagi setiap pemunya yang ingin meletakkan mesin layan diri di kawasan umum, mereka perlu:

  • Memastikan mesin jual air tersebut telah berdaftar dan mendapat lesen operasi serta diletakkan di kawasan yang sesuai dan jauh dari pencemaran.
  • Ia juga perlu menampilkan reka bentuk yang memudahkan pembersihan dan penyelenggaraan serta diperbuat daripada bahan yang tahan hakisan dan tidak telap air.
  • Mesin layan diri tersebut juga perlu mempunyai sistem yang efektif untuk mengendalikan limpahan air atau kebocoran, aliranbalik dan menghentikan operasi apabila proses penyahjangkitan tidak berfungsi.
  • Mesin tersebut juga perlu tidak menjadi tempat bersarang serangga perosak yang boleh mencetuskan komplikasi kesihatan.
  • Mematuhi keperluan-keperluan lain yang ditetapkan di bawah agensi-agensi lain yang berkaitan seperti PBT, DOSH, JKR dan sebagainya.

Bagi mana-mana pemunya Mesin Layan Diri (Vending Machine) air yang tidak mematuhi
subperaturan atau melakukan sesuatu kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun selain turut boleh menyebabkan pembatalan lesen serta merta.

Oleh sebab itu, setiap pemunya mesin layan diri perlu melakukan pemantauan sendiri sekurang-kuranya sebulan sekali berdasarkan sistem FoSIM yang merangkumi ujian warna, bau dan rasa.

Untuk pengetahuan anda, pada tahun 2014, sebanyak 22 mesin layan diri telah disita oleh pihak berkuasa yang mana mana 4 daripadanya kerana tidak menjaga tahap kebersihan seperti yang ditetapkan, sementara 10 daripadanya pula mengandungi bakteria di kawasan sekitar penjualan serta 8 mesin layan diri pula dikatakan menawarkan air yang boleh memberikan risiko ke atas tahap kesihatan.

Sumber: MOH