Min Ahmad Diterbitkan 7 April 2022

Cara Untuk Kekal Terhidrasi Sepanjang Berpuasa

Cabaran utama ketika berpuasa ialah menahan dahaga, terutama sekali apabila berpuasa dalam keadaan cuaca panas. Sekiranya pengambilan air tidak cukup ketika berpuasa, anda boleh mengalami satu atau lebih simptom-simptom berikut:

  • Bibir dan mulut kering
  • Air mata berkurang (menyebabkan mata terasa pedih)
  • Peluh boleh berhenti (menyebabkan badan menjadi panas)
  • Kekejangan otot
  • Pening dan muntah
  • Rasa berdebar-debar
  • Sakit kepala (terutama apabila berdiri)
  • Lemah-lemah badan
  • Pengeluaran air kencing yang kurang

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk memastikan diri anda kekal terhidrasi sepanjang berpuasa:

Elakkan Minum Air dengan Banyak dalam Jangkamasa yang Pendek

Apabila anda minum air dalam jumlah yang banyak dalam satu-satu masa, badan anda anda tidak akan menyimpan air tersebut dan akan mengumuhkannya sesegera mungkin. Cara terbaik untuk minum air ialah minum air dalam jumlah yang kecil sekerap mungkin dari saat anda berbuka puasa sehingga sebelum anda tidur dan minum semula air apabila anda bangun untuk bersahur.

Elakkan juga pengambilan minuman berkafien kerana ia bersifat diuretik yang menyebabkan anda kerap membuang air. Selain itu, meminum minuman isotonik seperti 100Plus atau meminum air kelapa dan susu juga dapat membantu untuk menambah semula kandungan elektrolit dalam badan.

Makan Makanan yang Kaya dengan Serat

Serat adalah salah satu keperluan yang membentuk sebahagian daripada diet pemakanan yang baik dan seimbang. Badan memerlukan serat bukan sahaja untuk melancarkan pergerakan usus dan penting dalam memastikan kesihatan usus, ia juga mampu merendahkan kadar gula dan kolestrol dalam darah.

Selain itu, serat juga dapat memastikan anda berasa kenyang dengan lebih lama dan mampu menyerap air. Air ini kemudiannya akan diserap semula oleh badan sepanjang proses penghadaman. Ini membolehkan badan anda kekal terhidrasi.

Antara makanan yang tinggi dengan serat : produk bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran, biji-bijian dan kekacang. Pastikan menu berbuka anda mengandungi hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana pengambilan makan ini selain dapat memastikan badan anda kekal terhidrasi, membekalkan serat, nutrien dan vitamin yang penting untuk badan.

Pelbagaikan Cara Pengambilan Air

Selain minum air dalam jumlah yang secukupnya, variasikan pengambilan air dengan makan makanan yang tinggi dengan kandungan air. Ini sekaligus mengurangkan beban kepada anda sekiranya tidak dapat minum air dengan secukupnya setelah anda berbuka puasa kerana sibuk dengan urusan ibadah. Pilih menu berbuka yang berkuah seperti sup dan bubur. Menghirup sup selain dapat membekal nutrisi yang diperlukan badan, mampu menghidratkan semula badan anda dengan air.

Perbanyakkan juga buah-buahan seperti pelbagai jenis tembikai, betik dan oren; serta sayur-sayuran seperti brokoli, lada benggala, batang saderi, timun dan salad. Selain mempunyai kandungan serat yang baik untuk badan anda, ia juga mampu membekalkan air untuk badan.

Bersahur Dengan Oatmeal

Oatmeal adalah hidangan yang memenuhi kriteria untuk anda yang berpuasa. Selain mampu membuatkan anda berasa kenyang dengan lebih lama, ia juga tinggi dengan serat. Oat akan mengembang dan menyerap air atau susu yang ditambahkan kepadanya yang bolejh menjadi sumber hidrasi untuk badan anda. Bulan puasa ini, cubalah pelbagai hidangan oat untuk menu sahur anda. Sekiranya overnight oat yang manis tidak kena dengan citarasa anda, anda boleh menggantikan nasi dengan oat di dalam bubur atau menggunakannya sebagai bahan dalam membuat cucur atau salutan ayam goreng.