Secara umumnya, berjoging adalah aktiviti berlari secara perlahan dan kurang sengit yang mana mengikut taktifan, kelajuan joging ialah 4 hingga 6 batu sejam (mph), manakala larian boleh ditakrifkan sebagai 6 mph atau lebih.
Walau bagaimanapun, takrifan ini boleh menjadi berbeza-beza kerana ia masih tidak mempunyai peraturan ketat yang menggambarkan dengan jelas sama ada anda sedang berlari atau berjoging.

Berjoging Vs Berlari – Adakah Ia Dua Aktiviti Yang Sama?
Persoalannya, adakah berjoging dan berlari merupakan aktiviti yang sama? Jawapannya tidak.
Menurut segelintir individu berjoging adalah aktiviti larian yang lebih santai dan kasual yang mana mereka akan berlari sekali-sekala dan tidak mengikut jadual latihan serta tidak bersaing dalam perlumbaan.
Manakala berlari pula sering dikaitkan dengan sesuatu latihan atau acara. Pelari bukan sahaja berlari sekadar cuba membakar kalori, tetapi mereka turut berlari dengan tujuan dan bekerja keras bagi mencapai matlamat.

Bukan itu sahaja, terdapat dua sebab utama yang membezakan kedua-dua aktiviti ini. Yang pertama ialah postur tubuh berjoging dan berlari adalah tidak sama.
Sekiranya anda berjoging, lutut mungkin tidak terangkat terlalu tinggi selain ayunan tangan juga tidak menghasilkan ruang yang banyak dan besar. Hal ini kerana, anda mungkin tidak memerlukan momentum tambahan yang disediakan oleh ayunan lengan untuk berlari pada kadar yang lebih pantas.
Oleh sebab itu, kebanyakan pelari biasanya akan memaksimakan jumlah pergerakan mereka. Dan ianya sekaligus menyebabkan penggunaan tenaga yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan berjoging.
Selain itu, perbezaan yang kedua adalah jenis senaman.
Untuk pengetahuan anda, berjoging ialah senaman berintensiti rendah hingga sederhana, sementara berlari pula merupakan senaman intensiti sederhana hingga tinggi.
Oleh sebab itu, individu yang berjoging boleh bertahan untuk jangka masa yang lama dan lebih memfokuskan kepada latihan membina stamina dan ketahuanan asas. Sebaliknya, berlari akan menghasilkan kelajuan agak tinggi dan output kuasa lebih besar. Ia akan memaksa otot untuk bekerja lebih keras dengan tempoh senaman sekitar antara 25 dan 60 minit.
Adakah Berjoging Dan Berlari Menawarkan Manfaat Yang Sama?
Untuk pengetahuan anda, berjoging melibatkan otot yang sama seperti berlari. Itu termasuk otot di bahagian bawah badan, seperti fleksor pinggul, glutes, quadriceps, hamstring dan betis.
Terdapat banyak manfaat kesihatan yang berkaitan dengan jogging, termasuk:
- Meningkatkan kecergasan kardiovaskular
- Tulang dan sendi yang lebih kuat
- Peningkatan kekuatan otot
- Pengurangan berat
- Mengurangkan faktor risiko penyakit kronik
Harus diingatkan bahawa, kelajuan untuk berjoging dan berlari sebenarnya tidak mempengaruhi perbezaan kedua-duanya. Tetapi apa yang memberi kesan kepada aktiviti ini adalah rentak larian dan juga usaha.
Sumber: asics live healthy