Baru-baru ini, PLANMalaysia telah mengumumkan tiga negeri di Malaysia yang telah mencapai status Negeri Bahagia iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis.
Pencapaian ini diiktiraf menerusi capaian skor bagi ketiga-tiga negeri yang dilihat melebihi 80% dalam pengukuran Indeks Kebahagiaan 2021.
Untuk pengetahuan anda, indeks kebahagiaan ini diukur berdasarkan tahap kesejahteraan penduduk merangkumi tahap kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal yang mana bagi mencapai status ini, semestinya memerlukan tahap kepuasan hati penduduk ke atas bandar yang diduduki adalah tinggi.

Menurut perkongsian PLANMalaysia juga, Pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia dijalankan melalui Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia yang dikenali sebagai MURNInets.
MURNInets merupakan alat yang digunakan bagi mengukur kemampanan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Malaysia di bawah seliaan PLANMalaysia iaitu jabatan di bawah KPKT yang mana mereka mengambil kira aspek tahap dan perkhidmatan yang ditawarkan PBT kepada masyarakat.
Mengapa Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis Mencapai Status Negeri Bahagia?
Di Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mendapat skor tertinggi iaitu 91.97% untuk kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. MBMB melaksanakan pelbagai inisiatif untuk masyarakat di Melaka dengan cara:
- MBMB mewujudkan sistem SPiKTRA bagi penyuraian trafik dan kelancaran lalu lintas. Dengan pengenalan ini, mereka telah berjaya melakukan penjimatan masa sehingga 300% di atas jalan raya.
- MBMB turut mengambil tindakan segera jika terdapat masalah atau aduan dalam kalangan masyarakat.
- Lain-lain inisiatif yang dilakukan MBM termasuk pemasangan lampu di kawasan gelap, membaki kerosakan jalan serta melakukan keceriaan dan kebersihan kawasan bandar.

Sementara di Negeri Sembilan pula, Tampin menerima penarafan sebagai salah satu bandar paling bahagia di Malaysia dengan skor tertinggi 99.5%.
Skor ini dikira mengikut 6 indikator utama iaitu peratusan perlindungan kediaman berada dalam jarak 400m dari kemudahan untuk masyarakat, kadar liputan jalur lebar yang tinggi, gangguan bekalan kuasa dan bekalan air yang jarang berlaku, bilangan terminal dan stesen pengangkutan awam yang tinggi serta kediaman rata-rata disediakan dengan perkhidmatan pembetungan.
Sumber: PLANMalaysia, MKN, Bernama