Carian
Amal Tabiat Belah Dahulu Kurma Sebelum Makan – Berapa Lama Stok Kurma Boleh Disimpan?
April 8, 2022 Lina Rosli

Baru-baru ini Public Health Malaysia telah berkongsi di media sosial mereka akan keperluan individu untuk membelah dahulu kurma sebelum makan ketika sahur mahupun berbuka puasa.

Hal ini disebabkan oleh kebimbangan terdapat kulat, serangga kecil, ulat dan cacing atau anasir lain yang berbahaya di celah-celah antara isi dan biji kurma.

Ditambah lagi untuk anda yang mempunyai stok kurma yang banyak dan telah disimpan lama di dalam kabinet, perkara ini semestinya perlu diambil tindakan serius bagi mencegah daripada kemudaratan kesihatan pada masa kelak.

Berapa Lama Tempoh Tahan Kurma Jika Disimpan Di Kabinet?

Secara umumnya, kurma mempunyai tempoh ketahanan yang lebih lama berbanding buah-buahan lain seperti pisang, epal dan limau.

Jika disimpan di dalam suhu bilik sekitar 27 hingga 32 darjah Celsius, ia dijangka boleh bertahan antara 1 hingga 3 bulan. Sementara jika anda menyimpannya di dalam peti sejuk, kualitinya akan terjamin sehingga mencecah 6 hingga 12 bulan.

Untuk pengetahuan anda juga, bagi kebanyakan buah kurma anda jenis kering, ia biasanya mempunyai jangka hayat segar yang lebih lama jika dibandingkan dengan jenis yang lebih lembap dan basah.

Oleh itu, anda disarankan untuk mencari tempat penyimpanan yang bersesuaian bagi memastikan kurma anda lebih tahan lama dan selamat untuk dimakan.

Bagaimana Cara Mengetahui Kurma Sudah Tidak Selamat Untuk Dimakan?

Bagi mengetahui sama ada kurma di rumah anda masih elok dan selamqt untuk dimakan, berikut adalah 3 perkara utama yang perlu anda pertimbangkan:

  • Lihat sekiranya warna kurma tersebut telah bertukar gelap dan lebih melekit berbanding rupa asalnya.
  • Kurma yang tidak lagi boleh dimakan juga biasanya akan mengeluarkan bau busuk seperti hapak dan masam.
  • Tekstur dan rasa kurma mula berubah dan tidak sama seperti rasa kurma yang biasa.

Sumber: PHM

Komen