Trim Hujung Rambut

Berbanding dengan memotong rambut di mana anda menukar gaya rambut, trim rambut bermaksud anda menggunting bahagian 2 inci terakhir rambut anda. Trim rambut sebenarnya bermanafaat untuk rambut kerana ia menyingkirkan bahagian hujung rambut yang rosak dan ini akan menggalakkan pertumbuhan rambut.
Anda tidak perlu risau trim rambut akan memendekkan rambut kerana rambut boleh tumbuh sehingga 1/2 inci setiap bulan. Bergantung kepada jenis rambut, secara umumnya anda disarankan untuk trim hujung rambut setiap 3 hingga 4 bulan sekali.
Namun begitu, jenis rambut yang berbeza mempunyai keperluan yang berbeza. Kenalpasti jenis-jenis rambut anda dan ikut saranan seperti berikut:
- Rambut nipis: Rambut nipis lebih cenderung untuk rosak dan putus akibat strukturnya yang kurang kuat. Oleh yang sedemikian, trim hujung rambut anda setiap 6 minggu sekali.
- Rambut tebal: rambut yang tebal mampu bertahan lebih lama tanpa perlu ditrim berbanding rambut yang nipis. Namun ia tetap perlu dikemaskan agar tidak kelihatan kembang dan tidak terurus. Gunting hujung rambut anda setiap 12 minggu sekali.
- Rambut lurus atau berombak: Anda yang berambut lurus disarankan untuk trim hujung rambut setiap 10 hingga 12 minggu sekali.
- Rambut kerinting: kerana rambut kerinting mengambil masa untuk tumbuh agar kelihatan panjang, anda boleh menggunting hujung rambut anda 2 hingga 4 kali setahun.
- Rambut yang diwarnakan dan kerap digayakan menggunakan peralatan bersuhu tinggi: Bergantung kepada keperluan dan jenis rambut anda (tebal, nipis, lurus atau kerinting), rambut yang diwarnakan dan kerap digayakan dengan menggunakan peralatan seperti pelurus, pengeringan atau kerinting rambut memerlukan trim yang lebih kerap berbanding rambut yang tidak diwarnakan dan tidak terdedah kepada haba yang panas.
Mencuci Rambut

Kekerapan untuk anda membasuh rambut bergantung kepada tekstur, ketebalan rambut, kekerapan anda berpeluh atau melakukan aktiviti. Secara umumnya, anda disarankan untuk mencuci rambut 2 hingga 3 hari sekali. Namun anda disarankan mencuci rambut apabila kulit kepala mula terasa gatal, kelihatan berminyak dan menghasilkan kelemumur.
Pemilihan syampu juga penting. Pilihlah syampu yang bebas sulfat kerana ia membantu untuk mengekalkan kelembapan rambut secara semulajadi dan sesuai untuk anda yang mempunyai kulit kepala yang sensitif kerana sulfat bersifat mengeringkan dan merengsakan. Tambahan pula, syampu bebas sulfat dapat memastikan warna rambut anda mampu bertahan lama. Manakala penggunaan perapi rambut dan hair mask selepas mencuci rambut mampu menambahkan kembali lembapan kepada rambut.
Bagi anda yang sering mendandan rambut, anda disarankan untuk memastikan rambut dan kulit kepala anda benar-benar bersih sebelum menggayakan rambut anda. Ini membolehkan dandanan bertahan lama. Penggunaan produk yang bersifat clarifying seminggu sekali untuk kulit kepala adalah disyorkan agar anda dapat membersihkan kulit kepala daripada product buildup yang terkumpul akibat penggunaan produk penggayaan rambut.
Selepas mencuci rambut, keringkan rambut dengan tuala microfiber kerana struktur bebenangnya yang padat dapat meresap air dengan cepat tanpa anda perlu menggosokkan rambut ke tuala. Ini adalah kerana menggosokkan rambut ke tuala akan mengakibatkan rambut anda putus. Sekiranya anda tidak mempunyai tuala microfiber, anda juga boleh menggunakan t-shirt lama yang bersih untuk mengeringkan rambut.
Penjagaan Kulit Kepala

Selain rambut, kulit kepala juga memerlukan penjagaan rapi. Tanpa penjagaan kulit kepala yang baik, rambut tidak boleh tumbuh dengan sihat. Malahan, kulit kepala yang terabai boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada rambut.
Folikel rambut tumbuh jauh ke dalam kulit kepala dan mempunyai microbiome yang tersendiri. Gangguan terhadap keseimbangan microbiome ini boleh mengakibatkan isu seperti kelemumur, dermatitis dan psoriasis. Isu-isu ini bukan sahaja mendatangkan ketidakselesaan kepada kulit kepala anda, ia turut mengakibatkan rambut menjadi kasar, putus dan kurang berkilat. Malahan, kulit kepala yang bermasalah juga boleh mengakibatkan keguguran rambut pramatang.
Untuk mengekalkan keseimbangan microbiome kulit kepala anda, sebaik-baiknya gunakanlah syampu bebas sulfat. Walaupun kandungan sulfat pada syampu mampu menyingkirkan kekotoran pada rambut dan kulit kepala, ia akan menghakis lembapan semulajadi dan sebum yang diperlukan oleh rambut, yang lantas mengakibatkan rambut dan kulit kepala anda menjadi kering dan teriritasi. Syampu bebas sulfat mampu membersihkan rambut dengan lembut tanpa merengsakan kulit kepala.
Penggunaan skrub untuk kulit kepala juga adalah amat digalakkan. Skrub membantu untuk menyingkirkan lapisan kulit mati, lebihan minyak, produk dandanan terkumpul dan merangsang peredaran darah bagi kulit kepala. Skrub dengan lembut menggunakan pad bahagian hujung jari anda untuk memberikan urutan.