Carian
3M Komited Tingkatkan Keselamatan Di Zon Sekolah – Lindungi Nyawa Pejalan Kaki Kanak-Kanak
April 12, 2022 Lina Rosli

Menurut data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, kemalangan jalan raya adalah punca utama kematian kanak-kanak berusia lima tahun ke atas di seluruh dunia.

Kemalangan sememangnya boleh terjadi di mana-mana. Namun, kawasan sekolah adalah lokasi yang paling cenderung terdedah dengan bahaya lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak. Oleh sebab itu, 3M kini mengumumkan komitmennya untuk meningkatkan keselamatan dan keterlihatan 100 zon sekolah di 23 negara, termasuk Malaysia dan sepuluh negara di rantau Asia serta seluruh dunia menjelang 2024.

Mungkin ramai yang sudah mengetahui, antara punca berlakunya kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh:

  • Keadaan jalan yang tidak diselenggara
  • Ketiadaan laluan untuk melintas
  • Kadar keterlihatan yang rendah di zon sekolah

Apabila ketiga-tiga perkara ini tidak diambil peduli, maka ia akan mendedahkan murid-murid kepada risiko ketika mereka berjalan kaki atau berbasikal untuk pergi dan balik dari sekolah.

Komitmen 3M Dalam Menambahbaik Tahap Keselamatan Jalan Raya – Di Zon Sekolah

Di Malaysia sahaja, kira-kira lebih 500,000 kemalangan jalan raya direkodkan pada Mac 2020 hingga Oktober 2021, membabitkan 5,412 kes kemalangan maut dengan 5,739 kematian. 

Untuk membendung perkara ini daripada berlanjutan, 3M Malaysia telah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya MaLaysia (MIROS) menjayakan mesej penting ini dan melindungi murid-murid sekolah.

Bukan itu sahaja, 3M juga dilihat melantik penyelidik bebas pihak ketiga di 11 negara pada 2021 bagi mengenal pasti apakah kebimbangan utama di kalangan orang dewasa berkaitan keselamatan secara berterusan. Malah, 3M turut ingin mengetahui pandangan mereka mengenai tahap keselamatan pengangkutan dalam di dalam komuniti mereka.

Set pertama transformasi zon sekolah akan dimulakan pada tahun ini di Amerika Syarikat semasa Bulan Kesedaran Pemandu Terganggu Kebangsaan pada April. 3M akan bekerjasama dengan bandar Nashville, Tennessee, menyatukan pemimpin komuniti, guru dan murid-murid bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya tingkah laku pemandu bermotor terganggu di zon sekolah. 

Seterusnya, 3M juga bekerjasama dengan Collier Engineering and Design dan Civic Design Center bagi mereka bentuk semula model jalan raya zon sekolah di Robert Churchwell Museum Magnet Elementary School dan Madison Campus Elementary School di Nashville.

Sehingga kini, Bahagian Keselamatan Pengangkutan 3M telah menjalankan misi untuk memajukan infrastruktur pengangkutan dan mobiliti global. Pemasangan bahan dan teknologi jalan raya berprestasi tinggi seperti Kepingan Reflektif Gred Berlian untuk papan tanda zon sekolah dan Pita Penanda Jalan Berturap dilihat telah membantu meningkatkan kadar reflektif dan keterlihatan untuk para pemandu kenderaan dan pejalan kaki.

Untuk menyertai dan mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif Keselamatan Jalan Raya Zon Sekolah 3M, anda boleh layari laman rasmi mereka bermula hari ini!

Komen